
KUCHING: Kerajaan perlu memansuhkan kebergantungan kepada ujian RT-PCR apabila negara memasuki fasa peralihan ke endemik COVID-19 kelak dan beralih kepada ujian kendiri RTK-Ag.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii (gambar) dalam kenyataan hari ini berkata, ujian kendiri RTK-Ag adalah untuk pengesanan dan pengasingan pantas kes COVID-19 lebih-lebih lagi dengan penularan varian Omicron ketika ini.
“Meskipun RT-PCR adalah lebih tepat berbanding RTK-Ag, tetapi ia mengambil masa untuk mengetahui keputusannya.
“Ujian RT-PCR juga terlalu sensitif dan mungkin mengesan sel virus yang telah mati di mana individu tersebut tidak lagi dijangkiti.
“Sebab itu, RT-PCR kini hanya terhad kepada pelawat dari luar negara dan untuk keperluan klinikal,” ujarnya.
Tambah Dr Kevin, apabila negara memasuki fasa peralihan ke endemik, matlamatnya adalah untuk mengesan mereka yang dijangkiti dan memerlukan pencegahan pantas bagi mengurangkan perebakan.
Menurutnya, ketepatan RTK-Ag yang diluluskan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah Kementerian Kesihatan adalah lebih 90 peratus.
Satu cara untuk mengurangkan peluang keputusan tidak tepat bagi RTK-Ag adalah dengan membuat ujian ulangan menggunakan ujian kit kendiri yang lain, terutama jika menunjukkan simptom, jelasnya.
Justeru katanya, oleh kerana terdapat kebimbangan mengenai kualiti kit ujian RTK-Ag di pasaran, MDA dan pihak berkuasa perlu sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan ia mencukupi dan menepati kualiti.
Kerajaan katanya, juga harus mencari pendekatan untuk mengurangkan harga kit ujian RTK-Ag di bawah RM5, memandangkan ia akan menjadi sebahagian daripada cara hidup baharu memasuki fasa peralihan ke endemik kelak.
utusanborneo.com.my/2022/03/11 |