|
Anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menunjukkan 1,300 karton rokok seludup yang dirampas. FOTO IHSAN PPM
Tumpat: Dua kereta ditemukan bersama muatan 1,300 karton rokok seludup dianggarkan bernilai RM195,000 di sebuah tapak masjid di Kampung Belukar, Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.
Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, anggota Unit Risikan Marin yang melakukan rondaan Op Landai/Op Kontraban pada 2.30 pagi mengesan kehadiran dua kenderaan itu yang didapati mencurigakan.
"Pemantauan dilakukan hampir dua jam ke atas kedua-dua kereta berkenaan, namun tiada sebarang aktiviti atau pergerakan individu dikesan.
"Anggota kemudian melakukan pemeriksaan terhadap dua kenderaan itu dan mendapati ia dipenuhi 26 kotak rokok belum lulus cukai kastam dengan jumlah 260,000 batang," katanya menerusi kenyataan, di sini.
Norzaid berkata, pihaknya menunggu hampir 30 minit, namun tiada pihak tampil mengaku sebagai pemilik kedua-dua kenderaan itu.
Menurutnya, semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor untuk laporan polis serta tindakan lanjut.
"Kita percaya semua rokok putih ini dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|