|
Istana terbuka di Istana Besar Sri Menanti
2010/09/08
SEREMBAN: Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, akan mengadakan istana terbuka sempena Aidilfitri di Istana Besar Sri Menanti, Kuala Pilah pada hari raya pertama.
Setiausaha Sulit baginda, Datuk Abdullah Abas, dalam satu kenyataan berkata acara istana terbuka itu dibahagikan kepada dua sesi, dengan sesi pagi bermula dari 10.30 pagi sehingga 12.30 tengah hari dan sesi petang dari 2 hingga 3.30 petang.
"Istana terbuka ini memberi peluang kepada rakyat jelata untuk berhari raya bersama baginda," katanya.
Beliau berkata, sebelum itu baginda akan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat dan tahlil di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, Kuala Pilah.
Sementara itu, Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Datuk Muhamad Sharip Othman, pula akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya di Balai Lela Sedia, Rembau, pada hari raya ketiga mulai 10.30 pagi hingga 3 petang.
Majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pula akan diadakan di Kampung Tanjung, Rantau mulai 10 pagi hingga 5 petang pada 25 September, manakala Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mat Ali Hassan, pula mengadakannya di perkarangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Negeri, di sini pada hari raya pertama mulai 10 pagi.
Majlis hari terbuka Aidilfitri Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Parlimen Jelebu pula dijadualkan berlangsung di padang Pasar Tani Kuala Klawang, Jelebu pada 13 September mulai 7.30 malam.
Majlis itu akan dihadiri oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor, akan mengadakan majlis rumah terbuka beliau di padang serbaguna Tampin mulai 2 hingga 5 petang pada 25 September.
Di PERAK, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri pada raya pertama di kediaman rasminya di Jalan Raja Di-Hilir di sini.
Dr Zambry berkata, orang ramai boleh mengunjungi rumah terbuka itu mulai 3 hingga 6 petang manakala majlis rumah terbuka anjuran Kerajaan Negeri Perak akan diadakan di Dataran Ipoh pada 16 September.
"Rumah terbuka anjuran Kerajaan Negeri Perak bermula dari 3 hingga 6.30 petang sempena Hari Malaysia," katanya hari ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, pula akan mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri pada hari Sabtu di rumahnya di Jalan Sukun, Sungai Rokam dari 10 pagi hingga 3 petang. - BERNAMA |
|