|
Pokok Melon Manis Terengganu (MMT) bersaiz sangat kecil akibat diserang penyakit misteri. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Kuala Terengganu: Ramadan kali ini memberi kesedihan kepada seorang petani apabila lebih 4,000 pokok Melon Manis Terengganu (MMT) yang diusahakannya diserang penyakit 'misteri' susulan keadaan cuaca tidak menentu.
Halim Ismail, 31, dari Kampung Peradong, di sini, berkata kesemua pokok yang ditanam diserang penyakit misteri sekali gus menyebabkannya mengalami kerugian lebih RM30,000 apabila tanamannya terbantut.
"Saya tanam pokok MMT itu pada Januari lalu dan sepatutnya dituai pada Mac lalu, tetapi pokok diserang penyakit menyebabkannya terbantut dan tempoh buah masak berlanjutan hingga ke April.
"Apabila buah masak kelak, ia akan bersaiz sangat kecil dan kualitinya tidak seperti biasa," katanya ketika ditemui di Pusat Pengumpulan Hasil Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, di sini, hari ini.
Menurutnya, buah bersaiz kecil tidak boleh dijual kerana tidak mencapai standard, tetapi masih boleh dimakan.
Katanya, dia memetik lebih 2,000 buah MMT, hari ini dan disedekahkan kepada penduduk kampung kerana tidak boleh dijual.
"Semua itu ujian daripada Allah, saya perlu sabar dan jujur dengan diri dan tidak menjualnya kerana kualiti tidak mencapai standard MMT yang sangat manis," katanya.
Menurutnya, kejadian yang menimpanya tidak mematahkan semangat untuk terus menanam MMT.
"Sejak 2019 saya menuai hasil yang baik, hanya tahun ini Allah uji dan saya perlu bersabar serta tidak harus berputus asa," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... h-mmt-tidak-menjadi |
|