|
Van Gaal tetap ketuai Belanda di Piala Dunia
Van Gaal mendedahkan rawatan kanser prostat dijalaninya berjaya.
THE HAGUE: Jurulatih bola sepak Belanda, Louis van Gaal menegaskan dia cukup cergas untuk memimpin skuadnya pada pusingan akhir Piala Dunia dan berkata rawatan kanser prostat dijalaninya berjaya.
Van Gaal, 70, berkata dia menerima rawatan 10 hari lalu sejak penyakitnya itu dikesan pada 2020, tetapi masih merancang untuk mengetuai The Oranje di Piala Dunia Qatar yang akan berlangsung tujuh bulan lagi.
"Saya menjalani 25 sesi kemoterapi. Kemudian saya perlu menunggu lima atau enam bulan untuk melihat sama ada ia berjaya atau tidak. Ia berjaya," katanya kepada agensi berita ANP.
Bekas jurulatih Ajax, Barcelona, Bayern Munich dan Manchester United itu juga menjalani pembedahan.
Van Gaal menguruskan Oranje antara 2000-2002 dan 2012-2014, ketika mereka meraih tempat ketiga Piala Dunia Brazil.
Dia kemudian kembali membimbing skuad kebangsaan selepas Frank de Boer meletak jawatan susulan tersingkir di peringkat 16 terbaik Euro 2020.
Belanda diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Qatar, Ecuador dan Senegal dalam undian Jumaat lalu. - AFP
|
|