
KUCHING: Pekerja yang tidak dibayar gaji minimum RM1,500 digesa supaya berani laporkan kepada Jabatan Buruh kerana hak untuk berbuat demikian.
Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak Mohamad Ibrahim Hamid berkata, perintah gaji minimum perlu dilaksanakan kepada semua pekerja tanpa mengira sektor industri yang kurang daripada lima pekerja, menjelang Januari 2023.
“Kami berharap penguatkuasaan itu berkesan dan selaras dengan perintah baharu,” katanya kepada New Sarawak Tribune. Tambahnya sempena Hari Pekerja 2022, ketika ekonomi meningkat, diharap pekerja di Malaysia dibayar dengan gaji yang berpatutan.
“Banyakkan pekerjaan untuk penganggur, minimumkan kemasukan pekerja asing, dan beri kelonggaran kepada mereka yang bekerja dari rumah, bukannya memotong elaun yang diperoleh pekerja dari rumah tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati agar mereka yang bekerja sendiri pertimbangkan secara serius untuk menggunakan Perkeso demi kepentingan masing-masing pada masa akan datang.
Beliau mengakhiri temu bual dengan mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua pekerja di Malaysia dan memastikan pekerja meningkatkan prestasi kerja untuk kepentingan sendiri, majikan dan negara.
sarawakvoice.com/2022/05/03 |