
BINTULU: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu menahan seorang lelaki berumur 24 tahun kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penagihan dadah di kawasan Tanjung Batu di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Batholomew Umpit berkata hasil ujian saringan air kencing dijalankan ke atas suspek mendapati lelaki itu positif mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Menurut beliau, suspek kemudian ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Bagi kesalahan di bawah seksyen ini, jika suspek didapati bersalah, dia bakal berhadapan dengan denda tidak lebih RM5,000, dipenjara tidak lebih dua tahun serta diletakkan dalam tempoh pengawasan selama dua tahun," katanya.
Tangkapan itu merupakan salah satu usaha PDRM mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di samping mencegah aktiviti jenayah di daerah Bintulu.
Pada masa sama, Batholomew menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di bahagian ini agar menghubungi IPD Bintulu di talian 086-318304.
utusanborneo.com.my/2022/05/04 |