|
Keadaan kawasan gajah berkeliaran di Felda Chiku 3. FOTO Paya Linda Yahya
Gua Musang: Kemunculan seekor gajah dewasa yang berkeliaran menggemparkan kira-kira 3,000 penduduk di Felda Chiku 3, di sini, semalam.
Dalam kejadian pada 7 malam, gajah dipercayai betina itu dilihat berkeliaran di belakang rumah penduduk sebelum berada di halaman rumah seorang guru serta rumah kedai di kawasan berhampiran.
Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chiku 2, Zaini Musa berkata, selama 21 tahun menetap di situ tidak pernah ada haiwan liar yang masuk berkeliaran di perkampungan itu.
"Apabila terdengar bunyi pelik, saya mengintainya dari cermin tingkap dan melihat seekor gajah dewasa di halaman rumah. Gajah itu bersaiz besar dan ketinggian dianggarkan melebihi pagar sekolah.
"Gajah itu dilihat berlegar di halaman rumah lebih setengah jam sebelum saya menghubungi jiran bagi meminta bantuan dan haiwan berkenaan sempat berehat dan minum air di dalam kolam halaman rumah saya.
"Tidak lama kemudian, jiran saya bertindak menghalau gajah berkenaan dan haiwan itu masuk ke kawasan hutan berhampiran," katanya.
Katanya, ia adalah kejadian pertama gajah masuk ke perkampungan ini walaupun sebelum ini pernah dilihat berada di kebun kelapa sawit peneroka.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kehadiran gajah liar di kawasan penempatan Felda Chiku 3.
Katanya, kawalan dan pemantauan dilakukan di lokasi yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Hutan Simpan Relai yang dipercayai menjadi habitat gajah berkenaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... uncul-dalam-kampung |
|