BAYAN LEPAS: Biarpun derita Che Putih Din, 71, menanggung rindu sudah berakhir selepas dapat berhubung semula dengan adiknya yang terpisah selama 47 tahun, kini duka baharu pula muncul.
Che Putih yang sebelum ini melawan penyakit kanser payudara tahap dua, disahkan mempunyai ketulan kedua di payudara.
Dia yang dikenali sebagai Kak Teh itu berkata, berita buruk itu disahkan doktor di Hospital Pulau Pinang selepas melakukan ujian imbasan dua minggu lalu.
Katanya, sebelum ini dia sudah menjalani rawatan membuang ketulan pertama di payudara kanan, selepas menderita penyakit itu sejak dua tahun lalu.
"Sepatutnya pada hari itu, saya menjalani rawatan kemoterapi susulan, namun pemeriksaan doktor mendapati ada ketulan baru di payudara kiri pula," katanya di sini.
Sebelum ini, akhbar melaporkan kisah Batliyah, 62, yang mencari kakaknya, Che Putih selepas menghilangkan diri sejak 1975.
Mengulas lanjut Che Putih berkata, berikutan faktor usia, dia sudah tidak berdaya hendak berulang alik menunggang motosikal bersama suaminya sejauh 22 kilometer ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapatkan rawatan.
Suaminya, Zakaria Shafee, 82, sering lelah manakala penglihatannya juga sudah tidak jelas.
"Hendak naik teksi, perlukan sebanyak RM30 sehala memang kami tiada wang kerana sudah tidak bekerja. Hanya sesekali anak atau menantu dapat bercuti, dia menghantar saya ke hospital menaiki motosikal.
"Kami tiada bantuan zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan memang sudah tiada wang simpanan, mujurlah kejiranan di sini sering bertanya khabar.
"Hendak memasak pun saya sudah tidak larat, begitu juga dengan suami yang terpaksa gagahkan diri keluar ke kedai bagi membeli barang keperluan dapur.
"Bumbung rumah yang kami diami lebih 22 tahun ini pun sudah lama bocor," katanya.
Che Putih berkata, beliau menghargai jika ada pihak yang bermurah hati mahu menghantarnya menjalani rawatan di hospital.