|
GUA MUSANG: Sebanyak 2,550 kilogram (kg) minyak masak peket habis dijual dalam masa hanya sejam pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) peringkat Parlimen Gua Musang, di Dataran KESEDAR, di sini, hari ini.
Tinjauan mendapati pengunjung datang seawal jam 8 pagi pada program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu bagi mendapatkan bekalan minyak masak berkenaan yang dijual pada harga RM2.50 sepeket.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Gua Musang, Mohd Koma Shapii, berkata program dua hari bermula semalam itu mendapat sambutan amat menggalakkan, malah banyak barangan habis dibeli orang ramai sebelum masa jualan tamat.
"Antara barangan yang mendapat permintaan tinggi ialah ayam berharga RM7.90 sekilogram, telur RM10 sepapan dan minyak masak RM2.50 sekilogram.
"Pada program ini, sebanyak 5,100kg minyak masak, 8,400kg ayam dan 500 papan telur ayam telah dijual. Setiap hari, kami menyediakan 150 kotak minyak masak peket untuk jualan dari jam 8.30 pagi hingga 2 petang," katanya kepada BH, hari ini.
Pada program itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, turut menyumbangkan minyak dan gula percuma kepada pengunjung.
Sementara itu pengunjung, Sharifah Noor Syed Hassan, 46, berkata beliau sanggup pergi ke program berkenaan sekali lagi, hari ini, selepas mendapati minyak masak sudah habis dijual ketika hadir kira-kira jam 11 pagi semalam.
"Justeru hari ini, saya bersama rakan-rakan datang seawal jam 8 pagi untuk membeli minyak masak dan beberapa keperluan lain.
"Di sini, pengunjung boleh membeli minyak masak hingga empat kilogram seorang, berbanding terhad kepada dua kilogram saja jika di pasar raya. Di kedai runcit pula, harga jualannya lebih mahal berbanding di pasar raya," katanya.
Secara keseluruhan, program kali ini menerima sambutan kira-kira 2,300 pengunjung sepanjang tempoh dua hari berlangsung.
https://www.bharian.com.my/berit ... -dijual-dalam-sejam |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|