
DADAH yang diambil secara salah guna dan berlebihan menyebabkan ketagihan dapat mendatangkan kesan negatif kepada diri pengguna. Merujuk statistik dikeluarkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), bilangan penagih baharu kian bertambah tahun demi tahun sedangkan yang sedia menagih tidak juga berkurang atau sembuh.
Sekalipun perkara ini menimbulkan rasa tidak senang dan kebencian, sebagai ahli kepada komuniti yang terpaksa berhadapan isu penagih, kita tetap berperanan memulih dan menyelamatkan mereka yang terlibat agar insaf serta berusaha memulihkan diri. Ketagihan dadah jika dibiarkan, sebuah negara boleh musnah jika penagih yang kini belia tidak dapat memimpin negara pada masa depan kerana ketidakupayaan ini.
Oleh itu, peranan dan kerjasama daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat diperlukan kerana kerajaan secara sendirian tidak mampu melawan musuh negara nombor satu ini.
Berdasarkan maklumat daripada kajian yang dijalankan AADK, seseorang mula mengambil dadah disebabkan beberapa faktor utama seperti pengaruh rakan, perasaan ingin tahu, keseronokan dan tekanan jiwa hingga mudah terjebak dengan jenayah tersebut. Kebejatan sosial yang berlaku kini turut menjadi punca kepada masalah dadah berada pada tahap yang sangat serius.
Selain itu, kesibukan ibu bapa bekerja membuatkan anak-anak kurang mendapat perhatian dan pengawasan yang menyebabkan anak-anak mencari perhatian orang luar. Ibu bapa mesti mengambil berat untuk mengenali dengan siapa anak-anak bergaul sama ada di luar rumah atau di alam maya.
Hal ini mungkin boleh menjadi langkah pertama untuk mengelak anak-anak terlibat dengan gejala dadah. Pencegahan awal mesti bermula dari rumah. Keluarga yang sihat akan menjadi benteng mapan untuk melahirkan warga yang akan menjadi kekuatan dalam membina negara.
Setiap masyarakat perlu mengelak daripada bersikap “bukannya hal aku” dalam menangani isu dadah ini kerana kesan yang akan dirasai akibat masalah ketagihan dadah ini akan melarat kepada kita juga sekiranya ia dibiarkan.
sarawakvoice.com/2022/07/01 |