|
AHMAD Marzuk menyampaikan sumbangan ketika melawat Che Khadijah Che Ahmad, 63, yang kehilangan kediaman akibat kebakaran di Kampung Kedai Buluh Hilir, Pengkalan Chepa, di sini, hari. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kota Bharu: Orang ramai dinasihatkan tidak membeli air zam zam yang dijual secara komersil dan runcit di dalam negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, ia kerana air berkenaan tidak dapat dipastikan daripada segi ketulenan.
"Logiknya orang perseorangan atau jemaah tidak dibenarkan membawa balik kerana Kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan mereka membawa keluar air zam zam.
"Jadi, bagaimana mereka boleh membawa dengan kuantiti yang banyak," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 13 keluarga dalam Parlimen Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Ahmad Marzuk berkata, hanya Tabung Haji (TH) dan agensi pengendali umrah dan haji saja yang dibenarkan membawa pulang air zam zam bagi pihak jemaah sebelum jemaah mengambilnya di lapangan terbang.
Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) memaklumkan, tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zam zam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, yang pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM selepas mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk turut mengingatkan pihak yang mahu mengupah badal haji supaya memilih mereka yang benar-benar tulen bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
"Jangan terlalu melihat atau memilih harga yang murah dan tidak munasabah. Setakat ini, kita tidak menerima laporan terperinci berhubung perkara itu sebaliknya setakat ini ianya hanya dakwaan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... runcit-dalam-negara |
|