|
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Kampung Chabang Tiga-Sungai Sok. FOTO Ihsan Bomba.
Kuala Krai: "Sebaik menerima panggilan daripada rakan yang memaklumkan ternampak kepulan asap hitam dari rumah jiran, saya sudah berasa tidak sedap," kata seorang daripada mangsa kebakaran, Nor Akmal Kepli, 35, di Kampung Chabang Tiga-Sungai Sok, di sini, hari ini.
Nor Akmal berkata, mereka sekeluarga tiada di rumah kerana pulang beraya di rumah keluarganya di Kampung Labuhan Kerteh, Terengganu sejak raya kedua.
"Hari ini, rumah keluarga di Terengganu mengadakan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidiladha, namun sebaik dimaklumkan mengenai kejadian ini, saya dan suami, Zulfadli Mohamed, 37, bergegas pulang ke Kuala Krai.
"Bagaimanapun, saya sekali lagi mendapat panggilan daripada jiran yang memberitahu api semakin marak, ketika itu saya hanya mampu bertawakal dan reda dengan ujian yang diberikan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, kejadian yang berlaku menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selain restoran masakan panas yang diusahakan turut hangus terbakar.
"Ketika ini, kami sekeluarga termasuk dua anak berusia 5 dan 8 tahun akan tinggal di rumah keluarga sebelah suami di Bandar Kuala Krai dan pada masa sama akan mencari rumah sewa," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.12 pagi dan tiba di lokasi 21 minit kemudian.
"Setibanya di lokasi didapati dua rumah kedai separuh kekal dan sebuah rumah separuh kekal sudah 80 peratus terbakar, manakala sebuah rumah lagi sudah 100 peratus terbakar.
"Api dapat dikawal pada 11.09 pagi dan operasi tamat sepenuhnya jam 1.31 tengah hari," katanya.
Katanya, jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ang-tempat-berteduh |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|