MIRI: Seramai 335 penerima termasuk 150 pesara polis yang pernah berkhidmat semasa zaman darurat mendapat penghargaan apabila diiktiraf sebagai penerima Pingat Jasa Pahlaman Negara (PJPN).
Manakala, 185 penerima daripada jumlah tersebut terdiri daripada pegawai kanan dan pegawai rendah polis Kontinjen Sarawak yang masih berkhidmat.
Penyampaian PJPN itu diadakan pada Istiadat Penganugerahan PJPN Kontinjen Sarawak Siri 2 Tahun 2022 di sini, hari ini dan disempurnakan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.
Razarudin (kanan) menyampaikan PJPN kepada penerima di Miri, hari ini.
PJPN dianugerahkan kepada petugas-petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menghargai jasa kepahlawanan, pengorbanan dan kebaktian kepada negara semasa zaman darurat dalam perkhidmatan Persekutuan Tanah Melayu bagi tempoh 12 Julai 1948 hingga 21 Julai 1960 dan Era Pemberontakan Komunis pada 17 Jun 1968 hingga 2 Disember 1989 di Semenanjung Malaysia, juga Sabah dan Sarawak pada 1962 hingga 17 Oktober 1990 yang dikenali sebagai perkhidmatan semasa darurat.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Zaini Jass, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Shmad Sapri dan Timbalannya Datuk Mancha Ata.
utusanborneo.com.my/2022/07/14 |