
TULAR: Tangkap layar rakaman yang memaparkan kejadian kes langgar kereta bekas tunang.
SANDAKAN: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai merempuh kereta bekas tunangnya dalam kejadian di Bandar Indah, Batu Empat, di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman berdurasi 30 saat, sebuah kereta dengan sengaja dipandu melanggar sebuah kereta lain di kawasan parkir.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2 petang.
Katanya, susulan itu, mangsa wanita, 20-an yang juga pemilik kereta berkenaan tampil membuat laporan polis pada hari yang sama di Balai Polis Bandar Sandakan.
“Suspek lelaki, 20-an yang juga bekas tunang kepada mangsa memandu kereta didapati dengan sengaja melanggar kereta suspek di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, pada masa kejadian mangsa tidak berada di dalam kereta,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, bertindak atas laporan, polis berjaya menahan suspek pada jam 11.15 malam, hari yang sama.
“Siasatan lanjut mendapati, motif sebenar kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa berikutan pertunangan mereka yang putus.
“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/07/16 |