|
MOHD Nasir (kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan rokok seludup. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Kota Bharu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 82 peti yang mengandungi 671,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dengan nilai cukai berjumlah RM452,725.
Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, hasil maklumat dan risikan, pihaknya melakukan serbuan pada 12.45 tengah hari Rabu lalu ke atas van di tepi lorong kampung di Kota Bharu.
Katanya, penyeludup menjadikan kenderaan sebagai tempat simpanan rokok seludup bagi memudahkan pergerakan selain mengelak daripada dikesan pihak berkuasa sebelum diedarkan kepada pelanggan tempatan.
"Ketika serbuan dilakukan tidak ada sebarang tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Padang Bongor, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd Nasir berkata, bagi menangani ketirisan minyak masak bersubsidi, pihaknya sentiasa melakukan pemeriksaan ke atas dagangan melalui lori eksport yang masuk melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
"Sepanjang bertugas di pintu keluar masuk sempadan mahupun di Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor, tidak ada kes yang diterima mengenai penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ok-seludup-dirampas |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|