|
Sekeping pembalut aluminium mengandungi 10 biji pil putih dipercayai dadah jenis epam ditemui dalam kereta Perodua Myvi yang disyaki digunakan kumpulan suspek kes samun rumah kongsi di ladang ayam di Gunong, Bachok. NSTP/Ihsan PDRM
BACHOK: Tiga lelaki ditahan kurang 24 jam selepas melakukan samun berkumpulan di sebuah ladang ternakan di Kampung Redang, Gunong, di sini, semalam.
Ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 19, 26 dan 29 tahun ditahan di hadapan sebuah kedai menjual telefon bimbit di Jelawat jam 7.30 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohd Ismail Jamaluddin, berkata turut dirampas, sebuah kereta Perodua Myvi yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun kira-kira jam 4.30 pagi itu.
Katanya, polis juga menemui sekeping pembalut aluminium yang mengandungi 10 biji pil putih dipercayai dadah jenis epam.
"Polis melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan kedai menjual telefon bimbit di Jelawat sebelum cuba menahan suspek dan berlaku pergelutan.
"Hasil siasatan awal suspek berusia 26 tahun mengaku terbabit dalam kes samun bersama empat lagi suspek, manakala dua lagi menafikan pembabitan mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Ismail berkata, mereka ditahan selepas pengurus ladang ayam membuat laporan polis pada jam 11.22 tengah hari semalam.
Katanya, hasil ujian air kencing, ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Benzo.
"Dua daripada mereka juga didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 148 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 457 KK kerana pecah rumah dan 379A KK kerana mencuri," katanya.
Terdahulu, lima individu melakukan samun berkumpulan di tiga rumah kongsi didiami pekerja warganegara Myanmar di ladang ayam berkenaan.
Mereka dikatakan melarikan wang tunai berjumlah RM5,050 dan empat telefon bimbit milik empat pekerja ladang.
Kesemua mereka dipercayai melarikan diri dengan sebuah kereta Perodua Myvi, selain turut mencederakan pekerja ladang menggunakan sebatang kayu berwarna coklat.
"Kita sudah kenal pasti suspek yang masih bebas manakala siasatan lanjut akan dibuat ke atas suspek yang sudah ditahan," katanya.
Ketiga-tiga suspek ditahan reman seminggu bermula hari ini hingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 KK.
https://www.bharian.com.my/berit ... n-samun-berkumpulan |
|