BUTTERWORTH: Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di hadapan sebuah restoran nasi kandar di Taman Chai Leng Park, Perai, di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San, berkata kejadian itu dipercayai kira-kira jam 3.30 pagi dan suspek dipercayai menggunakan beberapa objek sebagai senjata untuk menyerang satu sama lain.
"Hari ini, pihak polis telah mengesan empat video yang tular masing-masing berdurasi 8 saat hingga 23 saat di laman sosial Facebook, memaparkan kejadian pergaduhan sekumpulan individu di hadapan sebuah restoran nasi kandar.
"Hasil semakan mendapati setakat ini tiada laporan polis dibuat oleh kedua-dua pihak yang terlibat. Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek dan punca pergaduhan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta saksi kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Heng Boon Aun di talian 011-35235498 atau 04-5382222.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. - BERNAMA