|
Ahmad Zamri Ishak, 66, satu-satunya mangsa bot karam pada jarak 10 batu nautika dari Pulau Redang yang masih hilang. - Foto ihsan keluarga
KOTA BHARU: "Doa kami tidak pernah putus supaya jasad abah ditemui walaupun sudah tidak bernyawa. Kami reda dengan apa yang berlaku," luah Siti Zahratul Amani Ahmad Zamri, 25.
Siti Zahratul Amani, anak kepada Ahmad Zamri Ishak, 66, satu-satunya nelayan yang masih hilang selepas bot dinaiki karam, manakala empat lagi ditemui lemas.
Katanya, memandangkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bapanya sudah dihentikan Jumaat lalu, adik beradik serta abang iparnya hari ini mengambil inisiatif turun ke laut bersama penduduk kampung untuk mencari bapa mereka.
"Pagi tadi seawal jam 8.30 pagi, tiga abang serta seorang abang ipar dengan dibantu penduduk kampung turun ke sekitar Pulau Perhentian sebagai antara usaha untuk mencari abah kami.
"Walaupun sukar, sekurang-kurangnya kami berusaha memandangkan hari ini sudah memasuki hari kelapan abah hilang di laut.
"Besar harapan kami sekeluarga jasad abah ditemui dan kematian abah bertanda. Bagaimanapun, jika Allah takdirkan jasad abah tidak ditemui, kami reda kerana kami sudah berusaha," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Ahmad Zamri bersama enam rakannya dikatakan keluar ke laut untuk memancing dan memasang bubu jam 10 malam Ahad lalu sebelum bot yang dinaiki karam pada jarak 10 batu nautika dari Pulau Redang.
Susulan kejadian itu, empat nelayan Saludin Ismail, 50; Mohd Nazri Abu Bakar, 48; Zulkifli Umar, 48 dan Raja Zainuddin Raja Ibrahim, 49, ditemui lemas, manakala Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, ditemui selamat.
Operasi mencari dan menyelamat (carilamat) untuk mengesan nelayan yang masih hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Pulau Redang ditamatkan, Jumaat lalu.
Operasi yang diaktifkan selama empat hari mulai Selasa lalu ditamatkan jam 7 petang Jumaat selepas gagal menemui Ahmad Zamri.
https://www.bharian.com.my/berit ... atian-abah-bertanda |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|