
UMBANG: Pasukan bomba menjalankan operasi memotong dan mengalihkan pokok tumbang yang menghempap rumah mangsa.
KOTA KINABALU: Seorang wanita mengalami kecederaan manakala kanak-kanak dua tahun disengat tebuan selepas rumah mereka dihempap pokok tumbang di Kampung Unggun Jaya Lintas di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang kelmarin.
“Bertindak dengan kejadian, kita menggegaskan sepasukan pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bagi menjalankan operasi penyelamatan.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi segera memotong dahan pokok besar yang tumbang sehingga menyebabkan kerosakan pada bahagian bumbung dapur.
“Pasukan bomba terpaksa mengambil masa hampir 30 minit untuk mengalihkan pokok terbabit,” katanya.
Beliau berkata kejadian menyebabkan seorang mangsa wanita berumur 22 tahun mengalami kecederaan di bahagian betis kiri dan belakang.
“Seorang lagi kanak-kanak berumur dua tahun turut mengalami kecederaan di bahagian belakang akibat disengat tebuan dari pokok tumbang berkenaan.
“Pada masa sama pasukan bomba juga menjalankan operasi memusnahkan sarang tebuan bagi memastikan tiada mangsa yang disengat selepas itu,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua mangsa diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Katanya operasi keseluruhan ditamatkan jam 5.15 petang.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/08/23/kanak-kanak-disengat-wanita-cedera-pokok-tumbang-hempap-rumah |