
KEBELAKANGAN ini banyak isu berkaitan murid di negeri ini khususnya di kawasan pedalaman yang merisikokan nyawa demi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar sekolah.
Ungkapan 'merisikokan nyawa' mungkin dilihat terlalu besar untuk digambarkan bagi seorang murid sekecil usia tujuh tahun.
Namun realitinya, begitulah cabaran yang terpaksa dilalui segelintir murid di kawasan pedalaman negeri ini. Rutin harian mereka terlalu berbeza dengan keadaan anak-anak lain di bandar yang menaiki kenderaan selesa untuk pergi ke sekolah.
Melihat situasi yang mereka lalui, mungkin terdetik di hati kita, tidak timbulkah sedikitpun rasa takut dalam diri anak-anak ini berada dalam perahu kecil ketika menyeberangi sungai yang luas dan dalam pada waktu sang mentari belum muncul menerangi alam.
Bagi insan yang tidak pernah melalui saat sedemikian, dapat digambarkan betapa seramnya keadaan yang mereka lalui. Namun, tatkala melihat senyuman yang masih terukir di wajah anak-anak ini, ternyata naifnya diri mereka dalam menyelami erti pengorbanan mereka sebagai seorang murid.
Justeru, apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi kekangan anak-anak ini. Sampai bilakah mereka terpaksa berdepan dengan situasi 'menyeramkan' ini. Adakah ia perlu dibiarkan berlarutan tanpa kita mengetahui pengakhirannya?
Bermacam persoalan boleh ditimbulkan apabila melihat keadaan yang berlaku ini terutama peranan dan tindakan wajar pihak yang bertanggungjawab terhadap isu pembangunan di kawasan berkenaan.
Bukan tidak pernah dibangkitkan, malah isu ini sudah berulang kali disuarakan secara meluas hinggakan satu Malaysia tahu keadaan perjalanan harian ke sekolah anak-anak di pedalaman ini.
Penduduk kampung terutama ibu bapa murid, guru sekolah, wakil rakyat, malah menteri yang bertanggungjawab turut beberapa kali membangkitkan permasalahan ini sejak dahulu lagi sehinggalah sekarang.
Tetapi, entah di manakah silapnya yang menyebabkan anak-anak ini dari generasi terdahulu hinggalah generasi sekarang masih melakukan rutin dan bahaya yang sama semata-mata demi menimba ilmu di sekolah.
Tidak dinafikan ramai dalam kalangan anak-anak ini menyimpan cita-cita dan impian besar untuk menjadi seorang yang berjaya pada masa depan, mempunyai kerjaya yang membanggakan kedua ibu bapa dan mampu berbakti semula di kawasan tanah kelahiran masing-masing.
Bagaimanapun, sebelum mereka menyimpan impian sedemikian, tidak mustahil jauh di sudut hati mereka terlebih dahulu meletakkan harapan supaya dapat ke sekolah dalam keadaan yang lebih selesa dan selamat tanpa memikul bebanan berat sebagaimana yang dihadapi ketika ini.
Bukannya mahu untuk menuding jari menyalahkan mana-mana pihak kerana tindakan sedemikian tidak akan membantu menyelesaikan sebarang isu dan masalah yang dihadapi anak-anak ini.
Cukup sekadar membawa kita sama-sama berfikir sejenak, adakah bahaya dan pengorbanan yang dilakukan oleh anak-anak ini mampu menjadi jaminan kepada kejayaan mereka pada masa akan datang.
Adakah kesungguhan mereka yang sanggup menaiki perahu kemudian menyambung perjalanan dengan berjalan kaki sejauh lebih lima kilometer setiap hari itu akan menjanjikan kejayaan yang bakal mereka kecapi sebagaimana peribahasa, 'berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian'.
Buat anak-anak yang menjalani perjalanan sukar sebagai rutin harian ke sekolah, semangat dan kesabaran kalian sentiasa menjadi penghormatan tertinggi buat semua terutama rakyat yang tidak pernah putus mendoakan kesejahteraan hidup anda semua.
Semoga beroleh kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran serta kehidupan seterusnya dapat menyumbang bakti kepada tanah air sendiri.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/08/24/murid-gadai-nyawa-isu-yang-tiada-kesudahan |