CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1197|Reply: 0

Piagam Madinah dan anjuran toleransi

  [Copy link]
Post time 29-8-2022 09:27 PM | Show all posts |Read mode
Piagam Madinah dan anjuran toleransi


KEPELBAGAIAN kaum dan agama adalah bukti kebesaran dan kekuasaan Allah. FOTO Arkib NSTP

Kemerdekaan adalah suatu nikmat yang perlu disyukuri kerana membawa kemakmuran dan keamanan dalam sesebuah negara. Bagi mengekalkan kemakmuran tersebut, negara yang dibangunkan haruslah menepati prinsip 'Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur' iaitu sebuah negara gemilang yang bukan sahaja dilimpahi kekayaan dan kemajuan, tetapi juga menjadi negara yang dinaungi rahmat dan mendapat pengampunan daripada Allah SWT. Kemakmuran negara dapat dipertahankan dengan mengutamakan pendekatan Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta dalam segenap aspek pemerintahan berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan. Pendekatan tersebut menekankan kepentingan nilai-nilai sejagat seperti keadilan dan kesaksamaan ke arah melahirkan suatu umat yang sejahtera dan harmoni.

Dalam usaha membangunkan sebuah negara yang makmur dan harmoni, sebarang perbezaan tidak wajar diperbesarkan sebaliknya berusaha mencari jalan untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama. Natijah daripada perpaduan tersebut, kemajuan negara dapat dipertingkatkan secara seimbang dan menyeluruh dalam segenap bidang termasuk politik, ekonomi dan sosial. Setiap warganegara harus berfikir dan bertindak sebagai sebuah Keluarga Malaysia manakala segala tindakan yang diambil perlulah mengambil kira kehendak dan kepentingan bersama. Teras perpaduan masyarakat pula mesti berlandaskan prinsip kenegaraan seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Nilai-nilai murni seperti persefahaman, ketaatan kepada pemimpin, keprihatinan dan penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama diterapkan setiap masa.

Kemakmuran negara juga dapat dipertahankan melalui sifat tasamuh atau toleransi iaitu dengan cara menghargai, menghormati dan menerima perbezaan yang berlaku dalam kalangan masyarakat majmuk. Usah dibiarkan nilai-nilai murni tersebut dicemari dengan berita palsu dan provokasi melampau yang dilakukan oleh segelintir pihak terutamanya di media sosial. Prinsip tasamuh atau toleransi telah diterapkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam Piagam Madinah sewaktu baginda mendirikan negara Islam pertama, Madinah al-Munawwarah. Piagam tersebut mengiktiraf hak-hak kebebasan beragama dan kepercayaan, kebebasan bersuara serta hasrat warga negara yang mahu melihat keadilan dilaksanakan dalam kehidupan bermasyarakat sekali gus menghapuskan tradisi dan peraturan berasaskan perkauman yang sempit dan merugikan. Di dalam piagam tersebut terdapat prinsip-prinsip yang mengatur urusan kepemimpinan dan dasar sosiopolitik untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu.

Tiga perkara yang menjadi teras utama di dalam Piagam Madinah ialah keadilan undang-undang tanpa mengira kedudukan, toleransi beragama dan semangat kebersamaan dalam situasi senang mahupun susah. Kebijaksanaan Rasulullah SAW menguruskan perbezaan dalam situasi kemajmukan kaum dan agama menjadi kekuatan penting yang membangunkan masyarakat Madinah. Piagam tersebut perlu dijadikan panduan sepanjang zaman dalam menguruskan negara agar dapat membentuk ikatan kerjasama dan persefahaman dalam kalangan masyarakat.

Ajaran Islam tidak melarang kaum Muslimin untuk berbuat baik terhadap kaum bukan Islam yang tidak memusuhi umat Islam. Perkara tersebut berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran surah Mumtahanah ayat 8-9 yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Berdasarkan ayat tersebut, toleransi hanya berlaku apabila kedua-dua pihak saling menghormati dan menghargai antara satu sama lain. Hubungan antara orang Islam dan bukan Islam dalam sesebuah negara haruslah berpandukan kaedah dan prinsip yang jelas berkaitan kehidupan bersama (ta'ayush) iaitu tiada kompromi dalam soal akidah umat Islam, pergaulan hendaklah dalam suatu yang ma'ruf bukan mungkar, mengelakkan perkara yang memudaratkan orang Islam dan tidak melakukan suatu perbuatan yang haram secara qat'ie.

Dalam konteks Malaysia, Perdana Menteri sering menyeru rakyat untuk mengamalkan konsep tasamuh atau toleransi agar keharmonian dan perpaduan sentiasa terpelihara. Tasamuh adalah sikap yang dituntut dalam Islam kerana bukan hanya membolehkan rakyat terus membangun sehingga dihormati, tetapi juga dapat mengelakkan daripada perbalahan yang sia-sia dan merugikan. Konsep tasamuh berteraskan ajaran Islam yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan adalah selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat Malaysia menghargai dan memahami perbezaan. Pembudayaan konsep tasamuh dalam kehidupan bermasyarakat menjadi pemangkin untuk negara bergerak ke hadapan seiring dengan peredaran zaman.

Kewujudan manusia yang menganuti pelbagai agama dan terdiri daripada pelbagai etnik dan keturunan merupakan lumrah penciptaan Allah SWT. Perkara yang lebih utama adalah peranan semua pihak untuk mengamalkan sifat toleransi serta menyemai sifat berkasih sayang merentasi kaum dan warna kulit. Sifat toleransi atau tasamuh sangat penting bagi sebuah negara yang memiliki kepelbagaian bangsa dan budaya seperti Malaysia sebagai alat untuk menyatupadukan masyarakat. Firman Allah SWT dalam al-Quran surat Al-Hujurat Ayat ke-13 yang bermaksud: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahuai, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)."

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... n-anjuran-toleransi

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

4-5-2024 08:15 AM GMT+8 , Processed in 0.316555 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list