Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, orang ramai boleh menjangkakan berita baik mengenai laluan terus antara negeri ini dan tempat lain di luar Sarawak dalam tahun ini.
"Kita akan cuba mendapatkan sebanyak mungkin penerbangan terus ke Sarawak. Dan sudah pasti akan ada beberapa pengumuman mengenai perkara ini mulai sekarang hingga penghujung tahun ini," katanya pada sidang media pelancaran Kempen Pelancongan Sia Sitok Sarawak 4.0 dan Penginapan Sia Sitok Sarawak 3.0 di sini pada Isnin.
Meskipun demikian, Abdul Karim berkata, peningkatan penerbangan terus ke Sarawak akan menjadi sia-sia sekiranya harga tambang penerbangan tidak berpatutan.
"Saya percaya kebanyakan pelancong tidak mahu membelanjakan terlalu banyak tambang penerbangan, justeru memutuskan untuk tidak datang ke Sarawak," katanya. Misalnya kata beliau, sekiranya bayaran tambang penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak sebanyak RM1,000 atau lebih, mereka (dari Semenanjung) mungkin berfikir bahawa mereka boleh membelanjakannya di tempat lain di Semenanjung berbanding ke sini.
Sementara itu, beliau menzahirkan rasa teruja dengan kedatangan pengunjung dari Indonesia berikutan negara itu membuka sempadan antarabangsa pada 1 September ini.
Malah katanya, Presiden Indonesia Joko Widodo ada bercakap mengenai pelancongan kesihatan di Sarawak.
"Apabila sempadan antarabangsa dibuka, ia akan kembali normal. Yang kita tunggu adalah penerbangan terus dari Pontianak.
"Buat masa ini, kita boleh melihat kenderaan dari Kalimantan sudah ada di jalan raya. Jadi, apabila ada penerbangan masuk, kita akan lihat lebih ramai lagi pelancong Indonesia," katanya. Tambahan pula, ramai rakyat Indonesia akan berkunjung ke negeri ini bagi menghadiri Festival Jazz di Kuching tahun ini.
Selain itu katanya, pelancong dari Brunei juga sudah mulai masuk ke negeri ini berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa negara itu pada awal bulan ini.
"Saya di Miri pada hujung minggu lalu dan saya lihat rakyat Brunei mula berpusu-pusu masuk ke sini. Ini suatu perkembangan yang amat baik untuk industri pelancongan kita," katanya.
https://www.utusanborneo.com.my/2022/08/30/sarawak-sedang-berusaha-mendapatkan-sebanyak-mungkin-penerbangan-terus |