
SIBU: Padah merokok di kedai makan, seorang lelaki berusia 43 tahun didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmrin.
Tertuduh dikenali sebagai Peter Su boleh dipenjara selama dua minggu jika gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, tertuduh dibebaskan setelah membayar denda tersebut. Terdahulu, Majistret Mohd Syukri Mokhtar menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar serta menerima pengakuan bersalah tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merokok di sebuah kedai makan di Jalan Maju pada 7 April 2022, kira-kira jam 10.20 pagi.
Berdasarkan fakta kes ringkas, pegawai penguat kuasa dari Pejabat Kesihatan telah melakukan pemeriksaan bagi menentukan orang ramai mematuhi larangan merokok di premis makan.
Dalam pemeriksaan itu, tertuduh telah didapati merokok di sebuah premis makan di Jalan Maju.
Dengan tindakan merokok di kedai makan, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(d) PeraturanPeraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan dihukum mengikut Peraturan 11(3) peraturan sama.
Tempat atau kedai makan diwartakan sebagai tempat dilarang merokok mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004. Peraturan 11(3) ini memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun, jika sabit dengan kesalahan.
https://sarawakvoice.com/2022/09/16/denda-rm1500-merokok-di-kedai-makan/ |