|
Sebuah rumah di Kampung Purun, Tanjung Ipoh, di sini, hangus 100 peratus dalam kebakaran, awal pagi tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Kuala Pilah: Satu keluarga hilang tempat tinggal apabila rumah pusaka didiami mereka di Kampung Purun, dekat Tanjung Ipoh, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu, mangsa Nasir Kamal, 64, tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang atau dokumen di rumah itu selepas api merebak dengan pantas.
Nasir berkata, ketika kejadian dia dan anaknya yang berusia 19 tahun berada di rumah itu, manakala isteri dan ibu mentuanya berada hospital.
"Ketika kejadian saya dalam keadaan tidur-tidur ayam sebelum terhidu bau asap lalu segera bangun dan mendapati anjung rumah sudah terbakar dan mengejutkan anak serta menyelamatkan diri.
"Api menjilat keseluruhan rumah dengan cepat mungkin disebabkan struktur binaannya daripada kayu. Saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa, tetapi kami berdua selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nasir berkata, dia empat beranak kini tiada tempat untuk dituju dan masih berada di tapak rumah berkenaan untuk melihat jika ada barang boleh diselamatkan.
"Ada jiran dan penduduk kampung mencadangkan kami untuk menumpang di balai raya. Namun saya masih belum membuat keputusan memandangkan semua kelengkapan, pakaian hangus.
"Rumah yang diami sejak 22 tahun lalu ini musnah dalam sekelip mata. Saya amat berbesar hati jika ada pihak yang prihatin dapat membantu meringankan beban kami," katanya yang menganggarkan kerugian kira-kira RM200,000.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.50 pagi sebelum sepasukan petugas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Menanti ke lokasi dengan bantuan BBP Kuala Pilah.
"Sebaik tiba kami mendapati berlaku kebakaran sebuah rumah separa kekal berkeluasan 96.4 meter persegi musnah 100 peratus. Tiada mangsa dilaporkan cedera," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... hangus-sekelip-mata |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|