GEORGETOWN: Hasrat seorang wanita warga emas berusia 67 tahun untuk mendapat peluang mengundi tercapai selepas mendapat taraf warganegara Malaysia pada Julai lalu.
Chin Mew Yoong, 67, berkata dia adalah rakyat Malaysia dan dilahirkan di Selangor tetapi berpindah ke Singapura ketika berusia lima tahun.
Katanya, ketika berusia 12 tahun, dia pulang semula ke Malaysia untuk membuat permohonan kad pengenalan tetapi dimaklumkan permohonan itu ditolak menyebabkan dia kemudian memohon sebagai penduduk tetap Singapura.
"Ketika berusia 20 tahun, saya berkahwin dengan suami yang juga rakyat Malaysia dan sejak itu saya terus berusaha bagi mendapatkan semula taraf kewarganegaraan di tanah air.
"Ayah dan adik-beradik saya semuanya mempunyai kad pengenalan kerana lahir di Malaysia cuma sebab apa saya ditolak, saya tidak pasti," katanya pada sidang media bersama Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Oh Tong Keong, di pejabat parti itu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mew Yoong berkata, pada 2009, dia berjaya mendapatkan kad pengenalan pemastautin tetap dengan bantuan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika, Tan Sri Koh Tsu Koon dan GERAKAN Pulau Pinang.
Katanya, dia gembira kerana bakal mengundi buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
"Akhirnya pada tanggal 4 Julai lalu, saya dapat memiliki MyKad dan tiada kata yang boleh menggambarkan perasaan ini.
"Saya sudah minta anak menyemak status pemilihan di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan bakal keluar mengundi pada 19 November depan," katanya.