GEORGETOWN: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mencabar Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menamakan pemimpin DAP dikaitkan dengan komunis serta tidak percaya Tuhan.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi mempertahankan Parlimen Bagan itu berkata, pendedahan nama pemimpin DAP terbabit membolehkan saman diambil terhadap Abdul Hadi, seterusnya untuk diadili berdasarkan undang-undang.
"Saya harap dia (Abdul Hadi) namakan pemimpin DAP itu supaya kita secara peribadi boleh ambil tindakan saman. Kalau nak ke mahkamah dia kena namakan individu terbabit, baru boleh dibawa ke mahkamah.
"Maka saya harap (Abdul) Hadi jangan sembunyi di belakang permainan undang-undang," katanya pada sidang media, hari ini.
Semalam Abdul Hadi menegaskan tidak akan menarik balik kenyataan mendakwa DAP adalah parti menyokong dan membawa ideologi komunis.
Beliau juga mengakui tidak gentar, malah tidak akan berganjak daripada pendirian itu walaupun berdepan pelbagai desakan daripada pimpinan DAP.
Guan Eng berkata, sebelum ini Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut pernah memfailkan saman terhadap PAS atas dakwaan menyatakan Presiden PKR itu menyokong gerakan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Sementara itu, beliau berpandangan PAS dan Perikatan Nasional (PN) berdepan kesukaran meraih undi terutama pengundi Melayu jika terus memainkan isu sedemikian.
Katanya, pemimpin PAS itu patut berjuang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini berdasarkan fakta dan bukannya menggunakan sentimen kebencian.
"Saya rasa susah untuk mereka dapat sokongan daripada orang Melayu jika sikap sedemikian. Saya rasa lima peratus pun tak boleh dapat," katanya.