View: 453|Reply: 0
|
[Johor]
‘Ibu di mana, kami rindu’
[Copy link]
|
|
Nurul Norjannah Syafiqqah (kiri) dan Nurul Khaisyarah Syafiqqah (tengah) menunjukkan sijil kelahiran masing-masing sambil ditemani Muhamad Amir Ridhwan ketika ditemui di Taman Sri Impian, Kluang baru-baru ini.
KLUANG – Dua beradik tidak dapat membendung rindu yang amat mendalam apabila akhirnya membuka mulut untuk bertemu dengan ibu kandung mereka selepas menumpang kasih emak saudara sejak lapan tahun lalu.
Nurul Norjannah Syafiqqah Mohamad Hafizul, 10, dan adiknya Nurul Khaisyarah Syafiqqah, 8, terlalu mengimpikan pertemuan tersebut sejak diserahkan kepada penjaganya, Shafawani Zim Azaman, 26, ketika masing-masing berusia dua tahun dan dua bulan.
Bukan itu sahaja, dua beradik itu tidak dapat memasuki alam persekolahan disebabkan ketiadaan dokumen yang diperlukan.
Mengimbau semula kejadian itu, Shafawani berkata, dua beradik itu diserahkan selepas ibu bapa mereka bercerai.
“Dua beradik itu diserahkan di Lot 1008, Tepi Institut Memandu Kampung Pengkalan Nyireh di Besut, Terengganu walaupun ketika itu saya masih belum mendirikan rumahtangga.
“Bagaimanapun, ketika penyerahan dilakukan, hanya sijil kelahiran sahaja disertakan dan keadaan itu menyebabkan dua beradik ini tidak dapat bersekolah hingga sekarang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Shafawani yang sudah mendirikan rumahtangga bersama pasangannya Muhamad Amir Ridhwan Mohd Sofi, 24, dan tinggal di Taman Sri Impian di sini amat berharap dapat menemui ibu kepada dua kanak-kanak ini bagi membolehkan mereka melepaskan rindu yang tersimpan sejak sekian lama.
Menurutnya lagi, pertemuan itu juga amat penting kerana hak penjagaan perlu diselesaikan bagi membolehkan kanak-kanak itu mendapat pendidikan sempurna pada masa depan.
“Walaupun bapa kanak-kanak itu iaitu Mohamad Hafizul Zim Azaman, 28, sudah berjaya ditemui, namun surat kebenaran daripada ibu mereka tetap diperlukan.
“Usaha mencari di alamat terakhir juga tidak mendatangkan hasil kerana keluarga kepada wanita itu turut tidak tahu kedudukan sebenarnya sejak berpindah selepas perceraian berlaku,” katanya.
Sehubungan itu, Shafawani berharap mana-mana pihak yang mengenali ibu kandung dua beradik itu, Nor Hazwati Mohamad Noor, 30, dengan alamat terakhir di Kampung Bechah Resak,
Chabang Empat, Tumpat Kelantan supaya menghubunginya di talian 013-888 5689 bagi tindakan selanjutnya.
https://www.kosmo.com.my/2022/11/26/ibu-di-mana-kami-rindu/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|