|
Fenomena air pasang besar di Taman Negara Tanjung Piai, di Kukup, Pontian berlaku sejak 26 November lalu. - Foto NSTP/TOGI MARZUKI
PONTIAN: Fenomena air pasang besar menjadi tarikan pelancong di Taman Negara Negara Tanjung Piai, di sini, hari ini.
Petugas Taman Negara Tanjung Piai, Abdul Muqsit Adnan, berkata fenomena berkenaan berlaku sejak 26 November lalu.
Katanya, berdasarkan makluman Jabatan Laut Malaysia (JLM), paras air melimpah naik pada hari ini pada ketinggian sehingga paras 3.4 meter.
"Taman Negara Tanjung Piai di Kukup adalah lokasi utama pelancong dari dalam dan luar daerah untuk menyaksikan kejadian air pasang.
"Air pasang besar ini bermula dengan air laut melimpah naik pada jam 12.30 tengah hari dan dijangka surut sepenuhnya jam 2.30 petang," katanya.
Katanya, kejadian itu berlaku di sekitar persisiran pantai Kukup, dengan air naik ke darat sejauh lebih 500 meter.
Orang ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena air pasang besar di Taman Negara Tanjung Piai, Kukup, Pontian. - Foto NSTP/TOGI MARZUKI
Pengunjung, Aqlan Azman, 13, dari Pasir Gudang, Johor, berkata beliau sekeluarga tiba lebih awal di lokasi untuk tidak terlepas menyaksikan fenomena air pasang itu.
"Lokasi di sini amat indah, selain persekitaran bersih dan kedudukannya di penghujung benua Asia," katanya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2, Pasir Gudang.
Anak bongsu daripada dua beradik berkata, selain hutan bakau membantu memerangkap sampah, ia juga bertindak sebagai penghalang hakisan pantai, termasuk apabila air pasang besar berlaku.
https://www.bharian.com.my/berit ... i-tarikan-pelancong |
|