|
SALMIAH (kanan) menunjukkan gambar bapanya yang hilang sejak seminggu lalu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Kuala Pilah: "Sudah seminggu ayah hilang menyebabkan kami sekeluarga bimbang dengan keadaan dia ketika ini," kata Salmiah Abu Zahrin, 44.
Salmiah berkata, bapanya, Abu Zahrin A Hassan, 67, hilang dari kediamannya di Kampung Gunung Pasir, Seri Menanti di sini.
Menurutnya, sejak bapa berpisah dengan ibu pada 1993, Abu Zahrin mengalami tekanan perasaan dan berubah menjadi seorang yang pendiam.
"Bulan lalu, adik saya meninggal dunia akibat sakit saraf, kami maklum kepada ayah dan tidak pasti sekiranya kejadian itu memberi kesan ke atas dirinya.
"Ayah tinggal di rumah pusaka seorang diri namun kami adik-beradik kerap menziarahinya sambil bercerita keadaan masing-masing. Mungkin disebabkan tekanan perasaan, ayah tidak menunjukkan sebarang emosi," katanya ketika ditemui.
Justeru Salmiah berharap jika ada mana-mana pihak yang menemui bapanya dapat menghubungi keluarga atau balai polis berdekatan.
"Seluruh ahli keluarga mencari ayah di sekitar kawasan kampung termasuk di pekan Kuala Pilah, Seri Menanti malah sehingga ke Jelebu dan Seremban namun belum berhasil menemuinya," katanya.
Sementara itu, adik bongsu warga emas berkenaan, Norliza, 53, berkata, kehilangan abangnya itu disedari selepas dia tidak datang ke rumahnya untuk makan malam seperti biasa.
Katanya, abangnya tinggal bersebelahan rumahnya dan biasanya selepas Maghrib akan datang untuk makan malam.
"Bagaimanapun selepas solat Isyak, abang tidak muncul dan saya ke rumah mencarinya namun tidak menemuinya," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Norliza di talian 0136555548 atau Salmiah di talian 0173123071.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani mengesahkan menerima laporan dibuat ahli keluarga warga emas berkenaan dan polis sedang berusaha mengesannya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... eminggu-ayah-hilang |
|