View: 432|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
Sudah adu tanah runtuh tetapi belum ada tindakan
[Copy link]
|
|
K Achudan menunjukkan kawasan runtuhan di Jalan TSA 1/A, Taman Sri Anggerik, Rantau, di sini. Foto Ahmad Hasbi.
Seremban: Masalah tanah runtuh di Taman Sri Anggerik, Rantau, berdekatan Sungai Linggi, di sini, sudah berlarutan sejak tujuh bulan lalu namun tiada sebarang tindakan baik pulih dijalankan pihak berwajib.
Penduduk, K Achudan, 63, mendakwa dia sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan dan kakitangan agensi berkenaan dilihat ke lokasi untuk mengambil gambar tetapi tiada sebarang tindakan susulan.
Menurutnya, kejadian tanah runtuh berhampiran sungai itu berlaku secara berperingkat sejak Mei sebelum kejadian terbaru pada petang Jumaat lalu yang meruntuhkan alang dan bumbung hadapan rumah jirannya.
"Ketika kejadian tiada penghuni di rumah berkenaan kerana dia berada di tempat kerja. Lelaki berusia 50-an ini tinggal sendirian dan hanya datang untuk bermalam sahaja.
"Kejadian itu menyebabkan struktur halaman hadapan rumah lelaki ini runtuh dan jika tidak dibaik pulih dalam masa terdekat, tidak mustahil ia akan merebak ke kawasan lain," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Achudan berkata, kawasan runtuhan adalah lokasi pertembungan longkang, paip pembentungan, paip bekalan air dan saluran telekomunikasi yang mana air dari sekitar taman itu serta Pasar Pekan Rantau mengalir ke sungai menerusi kawasan runtuhan.
"Sudah lama runtuhan tebing sungai ini berlaku, namun ia berlaku secara berperingkat. Kira-kira empat bulan lalu, jalan di tepi sungai merekah sebelum runtuh sebulan selepas itu.
"Sebelum ini memang saya membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Seremban namun saya lihat tiada kerja baik pulih dijalankan.
"Mereka datang melihat kawasan kejadian dan mengambil gambar. Apabila saya tanya mengenai proses baik pulih, mereka memaklumkan sedang melantik kontraktor yang sesuai.
"Air sentiasa mengalir di sini kerana terdapat longkang dan jika hujan lebat, tidak mustahil runtuhan menjadi semakin kritikal dan boleh meragut nyawa," katanya yang tinggal di taman itu sejak 40 tahun lalu.
Tinjauan di seberang sungai yang menempatkan kawasan perumahan Taman Delima mendapati turut berlaku runtuhan tebing sungai sepanjang kira-kira 30 meter.
Apa yang membimbangkan adalah runtuhan kini sudah hampir ke salah sebuah rumah dengan jarak hanya 0.5 meter sahaja dari dinding kediaman terbabit.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -belum-ada-tindakan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|