View: 517|Reply: 0
|
[Terengganu]
Donat hasil air tangan pelajar OKU dapat sambutan
[Copy link]
|
|
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong, Muhammad Farish Ikhwan Abd Razak menunjukkan empat perisa donat yang dijualnya. - Foto NSTP/Nazdy Harun
KUALA BERANG: Walaupun dikategori sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) masalah pembelajaran namun seorang pelajar gigih berusaha menjalankan perniagaan donut secara sendirian.
Muhammad Farish Ikhwan Abd Razak, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Menerong, berkata dia mula berniaga donut secara kecil-kecilan sejak bulan September tahun lalu.
Menurutnya, dengan modal menjual kuih tart telur yang dihantar kepada pelanggan melalui pesanan sebelum itu, dia kemudian beralih kepada menjual donut pada hari minggu dan cuti persekolahan.
"Saya mengikuti Program Pendidikan Khas Integrasi Kemahiran Vokasional Spesifikasi Pembuatan Roti, di sekolah dan dengan kemahiran yang diperoleh saya terjemahkan kepada perniagaan.
"Seawal jam 3 pagi saya sudah bangun untuk menyiapkan donut dan proses menyiapkannya biasanya selesai pada jam 6 pagi manakala jam 7.30 pagi saya sudah memulakan perniagaan.
"Kesemua proses dari awal membuat donut hinggalah menjualnya saya lakukan sendirian kerana kemahiran yang diajar oleh guru di sekolah membolehkan saya menghasilkannya dengan sempurna.
"Berbekalkan meja dan kanopi saya menjual empat jenis donut berperisa iaitu pandan, susu, valvet dan gula," katanya yang tinggal di Pusat Pemindahan Semula Kampung (PPSK) Gunung Menerong, di sini.
Muhammad Farish yang dikategori sebagai OKU) masalah pembelajaran sedang menjual donut yang dihasilkannya.- Foto NSTP/Nazdy Harun
Menurutnya, hasil jualan boleh mencecah hingga RM160 namun bergantung kepada jumlah tepung yang diguna untuk menghasilkan donut.
Katanya, cabaran pada peringkat permulaan adalah adunan donut tidak menjadi selain donut yang digoreng menyerap minyak namun ia dapat diatasi dengan tunjuk ajar guru di sekolah.
Muhammad Farish berkata, dia kini mampu menarik nafas lega apabila donut yang dijual mendapat sambutan penduduk setempat dan dia juga amat berterima kasih kepada guru di sekolah yang membimbingnya hingga mampu berdikari.
Menurutnya, dia bercita-cita ingin membuka sebuah kedai sendiri selepas ini dan akan terus berusaha sebaik mungkin bagi merealisasikan hasratnya itu.
Ibunya, Robiah Salleh, 51, berkata, walaupun anaknya dikategori sebagai OKU masalah pembelajaran namun dia tidak menduga anaknya mampu bersaing seperti insan normal.
"Saya melihat kesungguhan Muhammad Farish, kerana seawal jam 3 pagi sudah bangun tidur dan membuat adunan dan menggoreng donut sebelum dijual.
"Bukan saja membuat donut sendirian malah Muhammad Farish, juga mengangkut dan membuka tempat jualannya secara sendiri," katanya yang juga seorang suri rumah.
Menurutnya, dia amat teruja melihat kesungguhan anak kelimanya itu dalam mencari rezeki walaupun masih bersekolah dan mempunyai baki dua tahun lagi sebelum tamat alam persekolahan.
Katanya, dia tidak menyangka dengan tunjuk ajar daripada guru di sekolah membolehkan anaknya berdikari dengan pada mulanya membuat kuih tart telur dan kini beralih kepada donut.
https://www.bharian.com.my/berit ... -oku-dapat-sambutan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|