View: 224|Reply: 0
|
[Johor]
'Ada kalanya kami hanya jamah nasi sekali sehari'
[Copy link]
|
|
MOHD Nasir (bersongkok) menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada keluarga Mohd Suny. FOTO Mary Victoria Dass
Ulu Tiram: Meskipun perlu menjaga bapa terlantar akibat strok dan adik lelaki yang mengalami komplikasi kegagalan buah pinggang, selain menyara empat anak berusia antara tiga hingga 11 tahun, Mohd Suny Wahid, cekal tabah menghadapi ujian hidup.
Mohd Suny yang berstatus duda berkata, sejak hampir 10 tahun lalu, dia mengurus perbelanjaan perubatan bapanya, Wahid Parayee, 79, selepas diserang strok dan dibantu oleh adik bongsu, Mohd Sidiq, 35, yang bekerja di kilang.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, malangnya Mohd Sidiq yang masih belum berumah tangga pula disahkan mengalami kegagalan buah pinggang dua bulan lalu selain keadaan tubuhnya juga masih lemah hingga sukar untuk bergerak.
"Adik hilang upaya untuk bekerja hingga saya menjadi harapan keluarga, malangnya lebih sebulan lalu saya yang bekerja sebagai kerani timbang di sebuah syarikat diberhentikan kerja oleh majikan kerana menyatakan mahu mengurangkan tenaga kerja.
"Buat masa ini, saya bergantung sepenuhnya kepada elaun pencarian kerja Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) bagi mengisi perut tujuh insan kesayangannya.
"Secara jujur, ada kalanya kami hanya menjamah nasi sekali dalam sehari selain makan apa yang ada. Saya perlu membelanjakan lebih RM1,000 bagi membeli bekalan susu khas dan lampin pakai buang bagi adik dan bapa, selain membiaya persekolahan tiga orang anak," katanya ketika ditemui di kediamannya di No 15, lot 1279, Felda Sungai Tiram di sini hari ini.
Mohd Suny berkata, dia ada seorang lagi adik lelaki, namun dia tidak mahu membebankan adiknya itu yang sudah berkeluarga serta memiliki tanggungan.
"Ibu, Saniah Mahadi juga sudah mencecah 70 tahun dan mengalami masalah tekanan darah tinggi namun buat masa ini ibu masih membantu saya mengurus makan minum kami sekeluarga," katanya yang sudah berpisah dengan isteri lebih setahun lalu.
Mohd Suny ketika ini berharap dapat mencari pekerjaan tetap bagi menyara keluarga termasuk membiayai persekolahan anak.
"Harapan saya adalah untuk kembali bekerja demi anak dan keluarga serta mengubah nasib keluarga.
"Kami masih belum memohon bantuan daripada mana-mana agensi sehingga kini kerana sibuk mengurus adik," katanya.
Hari ini, keluarga Mohd Suny menerima kunjungan daripada wakil Jejak Asnaf Majlis Agama Islam Johor Mohd Nasir Ishak yang turut menyumbang bantuan wang tunai serta barangan keperluan.
Orang ramai yang ingin meringankan beban Mohd Suny boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 101245283413 atau hubungi 017-761 3305.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -nasi-sekali-sehari |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|