View: 267|Reply: 0
|
[Johor]
Pelancong Singapura buru durian udang merah Kukup
[Copy link]
|
|
ROHAIZAD menunjukkan durian udang merah Kukup di gerainya di Bandar Permas, Kukup, Pontian semalam.
PONTIAN – Walaupun tidak sehebat nama durian udang merah Balik Pulau, Pulau Pinang, namun durian udang merah Kukup kini semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar raja buah tersebut.
Rata-rata durian udang merah Kukup datang dari beberapa kawasan seperti Kampung Sungai Durian, Serkat, Telok Kerang dan Rambah di mana pokoknya telah berusia lebih 20 tahun.
Menurut peraih dan penjual durian, Rohaizad Abdul Rashid, 43, walaupun berdepan dengan faktor cuaca ketika durian berbunga pada awal Januari lalu, namun masih ada rezeki bagi pemilik tanaman durian udang merah ini.
Katanya, sejak durian mula gugur tiga minggu lalu, dia yang merupakan peniaga buah-buahan sepenuh masa kini sibuk membeli durian daripada pekebun mahupun mereka yang menghantar ke gerainya.
“Alhamdulillah, selepas berakhirnya sambutan Hari Raya Aidilfitri, buah-buah durian kini mula gugur dan memberi peluang saya membantu memasarkannya seperti tahun-tahun sebelumnya.
“Dengan bantuan ahli keluarga, kami pergi dari satu kebun durian ke kebun durian lain pada awal pagi dengan membeli terus daripada pekebun mengikut harga pasaran semasa,” katanya ketika ditemui di Bandar Permas, Kukup di sini semalam.
Tambahnya, memandangkan tanaman durian udang merah Kukup tersebut ditanam di atas tanah liat, rasanya ada yang manis, lemak dan pahit sekali gus menarik minat pelanggan untuk membelinya.
“Dianggarkan keluasan tanaman durian ini kira-kira 10 hektar dengan setiap pemilik mempunyai 0.4 hingga 1.2 hektar atau kurang daripada itu,” ujarnya lagi.
Katanya, dia menjual durian udang merah Kukup ini mengikut gred, di mana Gred A dengan harga RM28 sekilogram, Gred B (RM20) dan Gred C (RM15).
“Pengelasannya pula berdasarkan kepada saiz dan anggaran berat buah durian di mana berat antara 1.3kg hingga 2kg bagi Gred A, Gred B berat 1kg dan Gred C, sekilogram ke bawah,” ujarnya.
Selain menjual durian udang merah Kukup, Rohaizad yang mempunyai tujuh orang anak juga menjual durian kampung dengan harga RM9 sekilogram, lelong 10kg RM90 dan pukal bagi satu bakul RM100.
Katanya, setakat ini perniagaan durian udang merah Kukup dan lain-lain durian boleh mencecah sebanyak satu tan setiap hari dan meningkat pada hari Jumaat, Isnin dan Ahad.
Tambahnya, pada hari-hari tersebut ramai pelancong akan ke Tanjung Piai dan Kukup Laut termasuk dari Singapura dan Johor Bahru akan singgah di gerainya untuk menikmati durian. -KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2023/06 ... -udang-merah-kukup/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|