View: 1452|Reply: 0
|
[Johor]
9 beranak duduk dalam khemah akan masuk rumah sewa
[Copy link]
|
|
AHLI keluarga Mohd Kamal mengangkut barang untuk dipindahkan ke rumah sewa. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Kami akur arahan supaya pindah," kata Mohd Kamal Rosdi, 47, yang menetap dalam khemah bersama lapan ahli keluarga selepas rumah di Kampung Parit Mislam, Sungai Balang di sini, musnah dalam kebakaran, 15 April lalu.
Menurut Mohd Kamal, keputusan itu diambil selepas diarahkan pihak tertentu bagi membolehkan mereka mendapat rumah baharu.
Katanya, mereka dalam proses mengangkut barangan untuk dipindahkan ke rumah sewa yang tidak jauh dari sini.
"Saya diarahkan pindah, kalau tidak rumah tak dapat. Syukur ada rumah kosong sekali gus membolehkan kami berteduh sementara rumah baharu dibina.
"Saya ucap terima kasih kepada semua termasuk Harian Metro kerana sudi berkongsi kisah kami sekeluarga hingga mendapat perhatian pelbagai pihak," katanya ditemui hari ini.
Semalam, Harian Metro melaporkan, Mohd Kamal bersama bapa, Mashuri Mislam, 68, dan ibu, Maskonah Dahlan, 68, isteri serta lima anak berusia lapan hingga 21 tahun, terpaksa berteduh dalam khemah yang dipasang di hadapan tapak rumah mereka yang terbakar.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abd Rahman berkata, keluarga terbabit bersetuju untuk berpindah sementara menunggu rumah baharu siap.
"Buat masa sekarang, Baitulmal sudah meluluskan dan akan uruskan proses bina rumah baru untuk keluarga mangsa. Doakan semoga semuanya berjalan dengan lancar dan semoga dipermudahkan urusan mangsa," katanya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Balang, Selamat Takim berkata, bantuan membina semula rumah mangsa dalam proses peringkat akhir sebelum kerja pembinaan dijalankan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-masuk-rumah-sewa |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|