|
MOHD Rafee menunjukkan asap dari 'gunung' tapak pelupusan sampah TPSTL yang terbakar sejak Jumaat lalu. FOTO Omar Ahmad
Pasir Gudang : Lebih 1,000 penduduk Kampung Tanjung Langsat dan Kampung Perigi Acheh di sini, terpaksa berdepan dengan asap tebal dan bau busuk, yang sudah hampir seminggu.
Ia ekoran kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Tanjung Langsat (TPSTL) di sini, sejak Jumaat lalu.
Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam, Mohd Rafee Abdullah berkata, tapak pelupusan sampah yang hanya kira-kira satu kilometer (km) dari dua kampung terbabit, dipercayai masih terbakar.
Katanya, asap tebal dapat dilihat di atas 'gunung' sampah, yang ada kalanya bertiup ke perkampungan berdekatan.
"Kami dimaklumkan kebakaran sudah dipadam, tetapi sehingga kini asap masih tebal di kawasan itu. Semalam, paling teruk, asap ditiup angin ke arah kampung. Itu belum bau busuk yang kami hidu, anak saya berusia 11 tahun sudah beberapa hari tidak dapat bersekolah kerana batuk.
"Kebakaran di TPSTL ini bukan kali pertama, sebelum ini pernah juga terbakar dan ambil masa berminggu-minggu untuk pulih sepenuhnya.
"Keadaan paling teruk pada waktu malam, kesan pembakaran masih lagi ada. Siang kita masih lagi nampak asap, tetapi malam apinya masih dapat dilihat dari jauh.
"Dengan keluasan lebih lima hektar, TPSTL pastinya mempunyai pelbagai sampah. Seharusnya, tapak itu dipindahkan ke tempat lain yang jauh dari kawasan industri dan penempatan manusia, atau menggunakan teknologi lebih baik dalam urusan melupuskan sampah," katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Langsat di sini, hari ini.
Pekerja kilang, Yusof Osman, 53 berkata, asap dari kebakaran itu dapat dihidu dan menyelubungi kampung pada masa tertentu mengikut arah tiupan angin.
Katanya, bimbang dengan keselamatan anak-anak kecil, kerana asap ini juga berbau busuk.
Sementara itu, pesara, Noorazman Mohd Shahir, 62 berkata, kebakaran ini berulang kali terjadi di tapak sampah berkenaan.
Dia berkata, penduduk mengharapkan pihak berwajib mengambil tindakan proaktif bagi membendung masalah ini, kerana ia akan mendatangkan kesan kepada penduduk.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ng-diselubungi-asap |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|