Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, kaedah pengurusan jenazah tragedi itu perlu dilakukan mengikut keadaan jenazah dan tahap kesempurnaannya.
Menurutnya, kebiasaannya pengurusan jenazah membabitkan tragedi akan dilakukan dan dipantau Pegawai Agama Daerah atau Kadi bagi membolehkan ia dilaksanakan mengikut syariat serta penuh tertib.
Katanya, pengurusan jenazah orang Islam tertakluk kepada empat rukun iaitu memandikan jenazah, mengkafan, solat dan kebumi.
"Jika jenazah dalam keadaan sempurna adalah wajib melakukan keempat-empat rukun berkenaan. Namun, jika keadaan jenazah tidak sempurna, maka boleh dibuat pengecualian supaya tidak merosakkan jenazah.
"Jika jenazah terbakar, hendaklah dikumpulkan tulang atau cebisan yang ada dan diletakkan dalam kain putih sebelum dijiruskan air ke atas kain itu dengan niat memandikan jenazah. Boleh juga dilakukan kaedah tayamum ke atas tulang atau sisa berkenaan dengan menaburkan debu sebelum ia dikafan dalam kain putih dan dikebumikan.
"Namun, jika jenazah sudah menjadi abu dan tiada cebisan, tidak perlu dimandikan sebaliknya terus diletakkan dalam kain putih dengan niat dikafan dan disembahyang sebelum dikebumikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.