"Laluan itu merupakan laluan di lereng bukit, jadi perlukan kawalan tambahan untuk menjadikan ia lebih selamat dilalui sama ada ketika mendaki atau menurun.
"Selain jalan perlu diturap baharu, pihak berkuasa perlu beri perhatian terhadap tanda-tanda amaran seperti papan tanda, garisan jalan atau pemasangan paku jalan dan pantulan cahaya.
"Laluan itu juga boleh diibarat seperti bom jangka kerana keadaan lereng bukit yang berisiko menyebabkan tanah runtuh," katanya.
Peniaga makanan, Mohd Faizal Abd Latif, 43, dari Kampung Kampai di sini berkata, kerajaan perlu menaik taraf laluan berkenaan kerana ia semakin menjadi tumpuan pengguna jalan raya.
Dakwanya, Jalan Bukit Tangga yang sebahagian daripada Jalan Kuala Klawang-Seremban pernah menjadi perdebatan pengguna media sosial kerana kerap berlaku kemalangan.
"Ramai yang mendakwa jalan di situ licin, gelap dan bagi pemandu yang pertama kali melaluinya, memang mencabar.
"Selain jalan yang berselekoh, tumpahan minyak kenderaan berat turut menjadi masalah kepada pengguna jalan, khususnya penunggang motosikal," katanya yang memberitahu akan menggunakan laluan itu tiga kali seminggu untuk membeli barang keperluan kedai makannya.
Seorang lagi pengguna jalan, Abdullah Mohd, 50, mendesak supaya laluan terbabit 'diterangkan' dengan cahaya lampu, selain diletakkan amaran di selekoh berbahaya.
Katanya, dia juga kecewa apabila garisan pemisah jalan yang pudar hingga mengelirukan pengguna jalan, selain kurangnya garisan kuning di kawasan bahaya atau licin.
"Kadang kala pengguna terutama yang pertama kali melalui jalan ini pening. Dengan keadaan jalan yang ada empat lorong, tetapi tiada pengadang jalan.
"Ada juga ketikanya, lorong ditutup sebab tanah runtuh. Ini juga bahaya," katanya yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan menaik taraf laluan itu.