|
Ahmad Nazri Abd Kader (tiga kiri) bergambar bersama peserta yang menghadiri Program Keselamatan Pergi Dan Balik Kerja 2023 di Mydin Tunjung. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Kota Bharu: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyasarkan untuk mengurangkan kadar kecederaan maut kepada 2.93 bagi setiap 100,000 pekerja menjelang 2025.
Pengarah Bahagian Keselamatan Industri JKKP, Ahmad Nazri Abd Kader berkata, sepanjang 2021 sebanyak 21,534 kecederaan pekerjaan direkodkan.
"Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 301 kecederaan pekerjaan (mengakibatkan) maut direkodkan dan 21,233 adalah kecederaan pekerjaan yang tidak membawa maut direkodkan ," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Keselamatan Pergi Dan Balik Kerja 2023 di Mydin Tunjung, di sini, hari ini.
Katanya, berdasarkan laporan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), jumlah kemalangan berkaitan perjalanan pergi, balik kerja dan untuk tujuan kerja meningkat sebanyak 83 peratus daripada 20,810 kes pada 2009 kepada 38,142 kes pada 2019.
"Jumlah itu menunjukkan kematian yang membabitkan pekerja akibat kemalangan berkaitan perjalanan pergi dan balik adalah hampir tiga kali lebih tinggi dalam tempoh 10 tahun lalu.
"Kemalangan jalan raya adalah isu yang serius dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan kemalangan jalan raya bakal menjadi penyebab kematian kelima tertinggi pada 2030 jika dibandingkan di tempat kesembilan tertinggi pada 2004.
"Perubahan ekonomi semasa secara tidak langsung menyebabkan peningkatan aktiviti pekerjaan baru seperti e-hailing di samping pekerjaan lain di jalan raya termasuk pemandu trak, bas, teksi, kenderaan kurier dan kereta sewa," katanya.
Sementara itu, Ahmad Nazri berkata, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh tingkah laku manusia, diikuti oleh reka bentuk, keadaan infrastruktur jalan dan keadaan kenderaan.
"Nahas jalan raya adalah salah satu penyumbang utama punca kematian di Malaysia dan secara puratanya 6,540 orang terbunuh berpunca daripada nahas jalan raya pada setiap tahun di negara ini.
"Penunggang motosikal adalah golongan paling berisiko dan kumpulan umur pula membabitkan kanak-kanak dan belia berusia antara 0 hingga 30 tahun," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... aut-di-tempat-kerja |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|