|
MOHD. Azli Ayob memeriksa telur ayam di kedai runcitnya di Tumpat, Kelantan-UTUSAN/ROHANA ISMAIL.
KOTA BHARU: Penduduk dan peniaga di beberapa kawasan di negeri ini resah selepas mereka mendakwa sukar mendapatkan bekalan telur di pasaran.
Tinjauan Utusan Malaysia di pasar raya dan kedai runcit di beberapa jajahan mendapati, rak jualan telur kosong selain pusat pemborong ‘diserbu’ peniaga termasuk orang ramai untuk mendapatkan bahan mentah itu.
Seorang peniaga kedai runcit di Tumpat, Mohd. Azli Ayob, 36, mengakui sejak seminggu lalu dia berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan bekalan bahan mentah itu selepas terputus di pasaran.
Menurutnya, ekoran itu, dia terpaksa ke Kota Bharu untuk mendapatkan bekalan, namun, menemukan jalan buntu apabila bahan mentah itu tiada di pasaran.
“Setiap hari, saya perlukan 20 papan telur untuk dijual kepada penduduk setempat, namun bahan mentah itu sukar untuk dibeli.
“Secara tidak langsung situasi itu menyebabkan pelanggan yang datang ke kedai runcit terpaksa pulang dengan penuh hampa,” katanya.
Bagi peniaga roti canai, Zainudin Mat Yazid, 44, kebanyakan telur yang dijual di pasar raya ketika ini dari jenis Omega.
Katanya, sebagai peniaga kecil harga telur Omega terlalu mahal untuk dibeli sekali gus menyebabkan kos pengeluaran makin bertambah.
“Nak beli sepapan pun payah, apatah lagi dalam kuantiti yang banyak banyak ketika ini. Disebabkan itu, saya terpaksa keluar masuk banyak kedai bagi mendapatkan bahan mentah itu,” ujarnya.
Sementara itu, Persatuan Pengusaha Restoran Melayu Kelantan (Permeka) turut terkesan dengan ketiadaan bahan mentah tersebut.
Pengerusinya, Nik Hassan Mohd. Zain berkata, sejak akhir-akhir ini, mereka terpaksa mencari sendiri selepas pihak pembekal tidak mampu menampung permintaan.
Menurutnya, masalah itu menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk mendapatkan bekalan tersebut.
“Kalau ada, ia terhad. Kami tidak memperoleh stok sebagaimana yang dikehendaki,” katanya.-UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... -telur-di-kelantan/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|