|
PERKONGSIAN gambarAzli Ahmad bersama anak bongsunya, Alisa Nuha di Fb mendapat perhatian netizen. FOTO Ihsan Azli Ahmad
Kuala Selangor: Selepas 15 tahun menanti, impian kakitangan syarikat kurier, Azli Ahmad untuk menimang cahaya mata perempuan akhirnya termakbul apabila isterinya selamat melahirkan bayi diberi nama Alisa Nuha pada 3 Ogos lalu.
Kisah itu mendapat perhatian netizen selepas Azli, 38, berkongsi gambar dengan anak kelimanya di kumpulan Edit Apa Hari Ini.
Di ruangan kapsyen, Azli meminta pengikut kumpulan berkenaan membantu menyunting gambar rambutnya yang beruban supaya kelihatan muda.
Berkongsi kisahnya, Azli yang menetap di Puncak Alam, di sini, mengaku terlalu menginginkan cahaya mata perempuan sejak isterinya, Sayidatul Nur Hasamudin, 36, hamil anak pertama mereka.
"Tak tahu kenapa tapi saya memang sudah lama teringin untuk dapat anak perempuan. Cuma ditakdirkan, empat anak saya sebelum ini semuanya lelaki walaupun ada orang terdekat jangka saya dapat anak perempuan ketika isteri mengandung anak ketiga dan keempat.
"Selepas isteri disahkan hamil anak kelima, saya sudah tak berharap tetapi setakat berdoa saja.
"Tak sangka dan syukur kerana Allah kabulkan doa saya, malah lebih teruja dapat anak perempuan berbanding isteri yang tak kisah dan okay saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Azli, kegembiraan sama turut dikongsikan dengan empat anak lelakinya yang berusia 14, 11, 10 dan enam tahun.
"Anak-anak yang paling teruja sebenarnya sebab mereka tak pernah ada adik perempuan.
"Jadi, apabila dapat tahu ibu mereka lahirkan bayi perempuan, mereka sangat seronok. Itu yang saya nak tengok.
"Alhamdulillah, bayi sihat cuma mengalami jaundis neonatal (demam kuning) saja," katanya
Azli berkata, perkongsiannya sebelum ini sekadar untuk suka-suka dan bergurau senda saja.
"Syukur, majoriti netizen turut sama gembira dan mendoakan walaupun mereka tak mengenali saya. Selain itu, saya ada juga dapat PM (mesej) daripada individu yang meminta tips dapat anak kerana belum dikurniakan zuriat.
"Jujurnya, saya ada juga ikut petua orang lama iaitu makan makanan laut untuk dapat anak perempuan dan memang cuba tapi setakat usaha saja, bukan percaya 100 peratus.
"Selebihnya berdoa kerana zuriat adalah anugerah Allah, jadi saya berserah kepadaNya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... mat-ditunggu-tunggu |
|