|
Jerantut: Kementerian Kerja Raya (KKR) bersiap siaga menggerakkan aset Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau jambatan Bailey ke seluruh negara pada musim tengkujuh yang diramalkan hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) negara dijangkakan berada dalam fasa akhir Monsun Barat Daya pada September dan memasuki fasa Monsun Timur Laut (MTL) pada November 2023 sehingga Februari 2024.
Katanya, ketika ini Jabatan Kerja Raya (JKR) mempunyai JPKB sepanjang 600 meter di tujuh stor penyimpanan di seluruh Semenanjung Malaysia.
"Penyimpanan JPKB itu ada di zon utara, tengah, selatan dan timur iaitu di Alor Star (Kedah), Kinta (Perak), Petaling (Selangor), Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Johor Bahru (Johor), Temerloh (Pahang) dan di Machang, (Kelantan) akan digunakan di kawasan yang menghadapi terputus hubungan.
"JPKB adalah jambatan sementara yang boleh dipasang siap dalam tempoh minimun 36 jam sebagai laluan alternatif bagi menghubungkan kawasan yang terputus akibat bencana," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pembukaan Projek Menaik Taraf Laluan 64, Jalan Benta-Jerantut – Maran,Fasa 1, Segmen 7 di sini, hari ini.
ABDUL Rahman pada sidang media selepas Majlis Pembukaan Projek Menaik Taraf Laluan 64, Jalan Benta-Jerantut – Maran,Fasa 1, Segmen 7. FOTO Amir Hamzah Nordin
Katanya, selain itu, sebanyak 2,580 aset jentera (aset Persekutuan dan Negeri) seperti kenderaan pacuan empat roda, jentera kaut, lori muatan tiga dan lima tan, jentera penyodok bersedia untuk digerakkan bagi tujuan pengangkutan petugas dan misi bantuan, pemantauan, pemulihan dan pembaikan infrastuktur, pembaikan cerun serta pemindahan mangsa banjir.
Menurut Abdul Rahman, Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR juga akan memeriksa dan memastikan sistem saliran cerun dalam keadaan baik dan mengenalpasti tanda-tanda awal kegagalan cerun di sepanjang jajaran jalan persekutuan dan negeri.
"Cerun yang kategori risiko tinggi dan sangat tinggi yang dikenal pasti akan diberi perhatian serta kekerapan rondaan dan pemeriksaan akan dipertingkatkan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... y-pada-musim-banjir |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|