View: 848|Reply: 0
|
[Pahang]
Banci Pertanian 2024 babitkan 60,000 kediaman, 2,000 pertubuhan
[Copy link]
|
|
Razaman (depan lima, kiri) bersama sebahagian kakitangan dan orang ramai yang hadir pada Program FitDOSM Perdana Peringkat negeri Pahang di Taman Gelora hari ini. - Foto Bernama
KUANTAN: Sebanyak 60,000 tempat kediaman dan 2,000 pertubuhan di Pahang dianggarkan terbabit dalam Banci Pertanian 2024 (BP 2024) yang akan dilaksanakan bermula Julai tahun depan.
Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Pahang Razaman Ridzuan, berkata kali terakhir banci itu diadakan pada 2005 dan pihaknya sedang mengemas kini rangka sebagai persediaan pelaksanaan BP 2024 yang akan dijalankan terhadap isi rumah dan pertubuhan yang terbabit dalam aktiviti pertanian.
"Menerusi banci itu kita akan dapat data terkini misalnya, teknologi baharu yang digunakan pemain industri dan ia penting untuk dilaksanakan kerana maklumat yang dikumpul adalah data diperlukan oleh agensi pertanian negara.
"Justeru, kami mengharapkan kerjasama semua pihak yang terbabit untuk menjalankan banci berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program FitDOSM Perdana Peringkat Negeri Pahang yang bertemakan
"Statistik dan Kelestarian Alam Sekitar" di Taman Gelora di sini, hari ini.
Sementara itu, Razaman memaklumkan pihaknya turut melaksanakan Banci Ekonomi 2023 (BE 2023) yang mengumpul maklumat bagi tahun 2022 membabitkan 52,272 pertubuhan perniagaan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan di seluruh Pahang.
Beliau berkata, banci yang bermula April dan akan berakhir pada bulan ini itu telah berjaya mendapatkan lebih 80 peratus respons daripada mereka yang terbabit.
Mengenai program hari ini, beliau berkata tema "Statistik dan Kelestarian Alam Sekitar" itu selaras dengan peranan DOSM sebagai Penjana Statistik Negara yang menerbitkan statistik berkaitan alam sekitar antaranya Statistik Indikator Hijau Malaysia dan Statistik Perbelanjaan Alam Sekitar.
Selain itu, program berkenaan diadakan sempena Hari Statistik Negara (MyStats Day) dengan tema "Statistik Nadi Kehidupan" yang telah diisytiharkan pada setiap 20 Oktober antara lain bertujuan mendekati masyarakat untuk meningkatkan kefahaman tentang kepentingan statistik.
"Kita turun padang untuk mendekati seramai mungkin masyarakat supaya mereka lebih cakna berkenaan data selain mengetahui peranan DOSM," katanya.
Katanya, kira-kira 300 peserta terbabit dalam pelbagai aktiviti sempena program itu antaranya senamrobik perdana, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) pembersihan pantai, pameran berkaitan produk jabatan, pertandingan mewarna dan sukaneka. – BERNAMA
https://www.bharian.com.my/berit ... man-2000-pertubuhan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|