|
CEDONG Kapit (kanan) bersama peserta lain menunjukkan cendawan tiram kelabu yang diusahakan mereka di Kampung Kuala Lah, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG: Projek tanaman cendawan tiram kelabu yang diusahakan sekumpulan Orang Asli kaum Mendriq, Kuala Lah di sini, berjaya membantu menambah pendapatan sekali gus mengeluarkan mereka daripada kepompong miskin tegar.
Projek di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT) yang diusahakan sejak dua bulan lalu berjaya menjana pendapatan sampingan berjumlah RM3,000.
Seorang peserta warga emas, Cedong Kapit, 61, berkata, dia bersyukur apabila terpilih menjadi antara 10 peserta perintis untuk mengusahakan cendawan tiram kelabu.
Menurutnya, rutin hariannya berubah selepas projek penanaman cendawan dilaksanakan di kawasan penempatannya apabila dia tidak lagi ke hutan untuk mencari hasil pendapatan.
“Proses tanaman cendawan telah bermula sejak 6 Ogos lalu dan kami berjaya mengutip hasil pertama tanaman pada 28 Ogos.
“Dengan bantuan tenaga pengajar setiap hari kami dapat mengutip 10 kilogram cendawan atau lebih 300 kilogram dalam tempoh sebulan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Johar Keladi, 48, pula berkata, setiap hari seawal pukul 8 pagi mereka akan ke premis pemprosesan cendawan tiram kelabu.
Katanya, dia bersama seorang lagi rakannya ditugaskan untuk menjaga bangsal dan menyediakan beg cendawan.
“Setiap pagi saya akan gaulkan media tanaman seperti habuk kayu getah, dedak padi dan kapur pertanian.
“Selepas itu saya akan mengukus bongkah cendawan menggunakan mesin pengukus yang telah disediakan. Peserta yang lain juga dibahagikan tugasan masing-masing termasuk memungut dan membungkus hasil cendawan,” ujarnya.
Seorang lagi peserta, Hassan Jusuh, 36, pula berkata, projek itu turut melibatkan kerjasama beberapa agensi seperti Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang, Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan pemimpin setempat.
“Kami bersyukur apabila terpilih sebagai peserta projek penanaman cendawan kerana sebelum ini pendapatan kami tidak menentu.
“Hasil keuntungan jualan cendawan itu sedikit sebanyak dapat menampung kehidupan ahli keluarga kami. Harga pasaran cendawan tiram kelabu yang dijual di sekitar daerah ini antara RM10 hingga RM12 sekilogram,” katanya.-UTUSAN
https://www.utusan.com.my/nasion ... ekonomi-orang-asli/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|