View: 1929|Reply: 0
|
[Terengganu]
Anak alami buah pinggang bocor, ibu pula hidap kanser
[Copy link]
|
|
Nik Mukhriz menderita sakit buah pinggang bocor. FOTO Ihsan keluarga pesakit
Besut: "Ujian buat kami sekeluarga apabila anak tiba-tiba disahkan mengidap buah pinggang bocor (nephrotic syndrome)," kata seorang wanita yang juga pesakit kanser, Lainatul Aisyah Abdullah.
Aisyah, 37, dari Kampung Air Tawar berkata, dia mengidap kanser (papillary thyroid) sejak 2016 dan masih dalam proses rawatan serta perlu menjalani KPD Kimoiodin (kimoterapi secara minum iodin).
Menurutnya, anak keduanya daripada empat beradik iaitu Nik Mukhriz Al Hafiz Nik Mohd Faidhi, 12, dikesan mengidap buah pinggang bocor pada Februari lalu dan sudah tujuh kali dimasukkan ke wad di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di Kelantan untuk rawatan susulan.
"Pada peringkat awal saya perasan bahagian muka, mata serta kaki anak seperti sembab (bengkak) bila ditanya dia beri alasan menangis kerana rindukan saya ketika itu terpaksa menerima rawatan di hospital selama seminggu.
"Apabila dibawa ke klinik doktor mengesan kandungan protein dalam air kencing sangat tinggi dan perlu dimasukkan ke hospital.
"Pada Mac serta April, anak makan ubat yang diberikan doktor dan dia kembali sihat serta boleh kembali ke sekolah seperti biasa pada Mei," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, namun pada Jun lalu tahap kesihatan anak kembali merosot dan bertambah teruk berbanding sebelum ini.
"Menurut doktor penyakit anak saya itu berpunca daripada jangkitan kuman ketika dia demam lebih seminggu walaupun pernah dibawa ke klinik untuk rawatan sebelum ini.
"Sekarang ini hospital sudah diibaratkan rumah kedua kami, bergilir-gilir masuk ke wad kerana masalah kesihatan masing-masing.
"Selang dua minggu anak saya akan dimasukkan ke wad untuk pemantauan doktor kerana ubat yang diambilnya tidak menunjukkan tindak balas sepatutnya," katanya.
Dia berkata, anaknya sudah beberapa kali bertukar ubat namun kali ini doktor menyarankan supaya mengambil ubat berharga RM16,000 untuk empat botol.
"Sebelum ini anak pernah makan ubat tetapi selepas tujuh hari antibodi badannya tidak lagi bertindak balas dengan ubat, anak tidak kencing serta badan kembali sembab.
"Saya sedang berusaha untuk mendapatkan wang RM16,000 dalam masa singkat kerana sudah banyak perbelanjaan dikeluarkan untuk menampung kos rawatan selama ini.
"Kebiasaannya pesakit buah pinggang bocor selalunya berusia dalam lingkungan empat tahun ke bawah tetapi kes anak saya ini usianya sudah belasan tahun, ada harapan pulih tetapi mengambil masa lama," katanya.
Aisyah berkata, ubat berkenaan akan diberikan kepada anak dalam tempoh sebulan iaitu dua minggu tempoh diberikan ubat dan dua minggu lagi direhatkan sebelum pemberian ubat seterusnya.
"Doktor memaklumkan hanya beberapa orang sahaja pesakit pernah mengambil ubat ini dan tindak balas badan mereka menunjukkan perubahan positif semakin pulih, harapannya anak saya pun segera sembuh.
"Saya hanya bekerja sebagai tukang urut, manakala suami, Nik Mohd Faidhi Nik Harun pula penjawat awam dalam proses mengumpul duit bagi menampung kos rawatan anak," katanya.
Menurutnya, anak pertamanya berusia 15 tahun, anak kedua (9 tahun) setia menemaninya di sisi, manakala anak bongsu berusia empat tahun dijaga oleh pengasuh sepanjang dia berada di hospital.
Dalam pada itu katanya, dia juga akan dimasukkan ke wad di hospital sama pada 29 Oktober ini untuk menjalani pembedahan pada 30 Oktober nanti.
Orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun 1630 4630 9805Maybank atau menghubunginya di talian 019- 9550340.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... u-pula-hidap-kanser |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|