Antara PATI yang berjaya ditahan Maritim Malaysia dalam satu operasi awal pagi tadi di perairan negara. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
PORT DICKSON: Sembilan lelaki warga Indonesia disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) awal pagi tadi ketika cuba menyusup masuk ke negara ini melalui melalui perairan di Tanjung Rhu di Selangor.
Terdahulu bot dinaiki mereka dikesan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dari laluan Skim Pemisah Trafik (TSS) menuju Tanjung Tumbuk, sebelum bot ronda Maritim Malaysia dalam tugas rondaan Op Murni/Op Tiris Fasa 2.0 diatur gerak ke lokasi.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, bot gentian kaca itu berjaya dipintas sekitar kedudukan 0.7 batu nautika barat daya Tanjung Rhu di Selangor kira-kira jam 1.00 pagi.
"Pemeriksaan mendapati bot terbabit membawa seorang tekong, tiga awak-awak dan lima penumpang yang semua warga Indonesia dipercayai PATI berusia antara 23 hingga 47 tahun.
"Semua sembilan lelaki itu gagal mempamerkan dokumen perjalanan sah dan dipercayai memasuki Malaysia melalui pintu tidak diwartakan.
"Bot dan suspek ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Maritim Malaysia menggesa orang ramai membantu menyalurkan sebarang maklumat mengenai salah laku di laut, termasuk mengenai kemasukan PATI atau sebarang anasir luar yang boleh menggugat perairan negara.
Maklumat boleh disalurkan menerusi Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
|