SALAH satu motosikal mangsa. FOTO Ihsan Pembaca
Kluang: Penuntut sebuah kolej vokasional maut, manakala rakan sekampungnya patah kaki kanan selepas mereka berlumba motosikal di Kilometer 59, Jalan Kota Tinggi - Kluang, dekat Felda Ulu Penggeli di sini, 10.15 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa maut berusia 16 tahun, manakala rakannya yang cedera berusia 18 tahun, dan kejadian selepas motosikal ditunggang mereka bertembung sebuah kereta di lokasi.
"Hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga kenderaan dari arah Kluang menghala ke Kota Tinggi.
"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dan rakannya dipercayai berlumba lalu hilang kawalan hingga melanggar belakang sebuah kereta.
"Kenderaan dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun ketika itu sedang memperlahankan kenderaannya untuk membelok ke simpang di sebelah kanan jalan.
"Akibat dari pelanggaran itu, penunggang berusia 16 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya patah kaki kanan, luka-luka di muka, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Disiarkan pada: Oktober 19, 2023 @ 7:39am
|