HAWA (kanan) dan anaknya, Nur Latifah pada Majlis Graduasi GiatMARA Ke-36, Zon Selatan di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Biarpun berstatus nenek namun ia bukan penghalang buat seorang wanita warga emas menamatkan latihan kemahiran kursus pada Majlis Graduasi GiatMARA Ke-36, Zon Selatan di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh tadi.
Hawa Ansor, 60, mengikuti latihan kemahiran kursus fesyen dan jahitan pakaian di GiatMARA Bakri berkata, walaupun usianya sudah lewat, namun atas dasar semangat serta keinginan lebih tinggi mendorong dia mengikuti kursus itu.
"Pada awalnya, saya melihat iklan berkaitan belajar kemahiran menjahit ini di poster. Saya terus berhubung dengan pusat GiatMARA Bakri untuk bertanya lebih lanjut.
"Oleh kerana semangat untuk belajar menjahit, saya mengajak anak perempuan untuk turut serta di samping menemani saya. Alhamdulillah, dia bersetuju dan sepanjang tempoh enam bulan itu, kami berjaya menamatkan kursus bersama-sama.
"Saya tidak kisah dengan usia asalkan dapat menimba ilmu, membantu menambah pendapatan keluarga," katanya ketika ditemui selepas majlis graduasi.
Hawa antara 1,510 pelatih berjaya menamatkan pelajaran manakala 735 pelatih diraikan pada majlis itu yang membabitkan 33 GiatMARA Zon Selatan iaitu Johor dan Melaka.
Tambahnya lagi, keputusannya untuk mengikuti kursus kemahiran di GiatMARA turut disokong sepenuhnya oleh suami dan anak-anak.
Hawa yang juga ibu kepada lima anak berkata, dia bersyukur kerana dapat menamatkan kursus sekali gus membolehkan dia menambah lebih banyak pengetahuan.
Disiarkan pada: Oktober 19, 2023 @ 3:37pm
|