|
ABDULLAH (tengah) ketika dibawa 'bertemu' ibu, abi dan adik beradiknya di tanah perkuburan Islam Limbong, di sini. FOTO Alias Abd Rani
Muar: "Dollah (Abdullah) kuat dik. Aku yang kalah." Itu reaksi Mohd Hairul Noor Muhammad, 54, bapa saudara Abdullah Amir Ruddin, 15, ketika dibawa buat pertama kali 'berjumpa' ibu bapa serta adik-beradik mereka di tanah perkuburan Islam Limbong, di sini, semalam.
Selain Mohd Hairul, 'pertemuan' Abdullah dengan ahli keluarganya itu turut ditemani abangnya, Abdur Rahman, 19, serta ahli keluarga lain, dihujani air mata sebaik remaja itu ditunjukkan satu persatu pusara itu.
Abdullah adalah satu-satunya mangsa terselamat dalam kemalangan yang mengorbankan ibu bapa mereka, Noorahimah Noor Muhamad, 43, Amir Ruddin Ismail, 46, dan empat beradiknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, serta Muhammad Assyakrawi, 5.
Sebaik dimaklumkan mengenai kejadian sebenar, Abdullah yang masih berkerusi roda dilihat menitiskan air mata sebelum ditenangkan ahli keluarga lain.
Mohd Hairul sebelum ini pernah memberitahu, Abdullah kerap bertanyakan mengenai ibu bapa serta adik-beradik selepas lama tidak menjenguknya malah turut menyangka mereka masih berada di Segamat.
Dalam 'pertemuan' itu juga, Abdullah turut berkata, inilah 'rumah baru' ibu, abi serta empat lagi adik beradiknya.
"Ini rumah baru ibu dengan abi, Awi, kak Fatimah, Seri, Rufaidah. Semoga Allah mengampuni dosa mereka," katanya sambil dilihat mengesat air mata.
Sementara itu, ibu saudara Abdullah, Nor Hila, 40, berkata, anak saudaranya itu seorang yang kuat walaupun dia dilihat menitis air mata.
"Walaupun dia tahu ibu abi sudah tiada, dia tetap nampak dia kuat malah Abdur Rahman masih lagi boleh tersenyum.
"Sebenarnya, tujuan membawa Abdullah 'bertemu' keluarga mereka adalah permintaannya sendiri, malah ini janji kami jika dia dah sihat dan boleh berjalan," katanya.
Tragedi menyayat hati itu berlaku ketika mereka sekeluarga kecuali Abdur Rahman dalam perjalanan dari Kluang ke Segamat untuk menghantar Noorahimah yang mengajar di Sekolah Agama Kemedak.
Perodua Alza dinaiki mereka dirempuh lori muatan pasir menyebabkan lima daripada mereka meninggal di tempat kejadian manakala Fatimah meninggal ketika mendapat rawatan di Hospital Segamat.
Abdullah yang mengalami kecederaan parah di tangan dan kepala dikejarkan ke Hospital Segamat dan dimasukkan ke di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.
Difahamkan, ketika kemalangan berlaku, Abdullah berada di tempat duduk belakang serta sedang tidur dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) itu.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... n-rufaidah-abdullah |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|