View: 1467|Reply: 0
|
[Johor]
Buat apa sahaja asalkan isteri bahagia
[Copy link]
|
|
MOHAMMAD Danial (gambar kiri) sanggup menjual bateri lori lama bagi mencari duit tambahan menyambut ulang tahun isterinya, Amira Zetty Natasha. FOTO Ihsan Mohammad Danial Ismail
Batu Pahat: Demi menggembirakan insan tercinta, Mohammad Danial Ismail sanggup menjual bateri lori lama bagi mencari duit tambahan untuk menyambut ulang tahun kelahiran isterinya, Amira Zetty Natasha Bachuk pada 1 November lalu.
Meskipun tidak bermodalkan wang yang banyak, Mohammad Danial, 31, dapat menyempurnakan misinya itu dengan membawa Amira Zetty, 28, bermalam di hotel sebagai kejutan buat isterinya.
Kisah Mohammad Danial yang menetap di Taman Nira, di sini mendapat perhatian warganet selepas berkongsi video bagaimana dia menggembirakan isteri di TikTok.
Rata-rata warganet memuji kesungguhan dan usaha Mohammad Danial yang turut melakukan sendiri dekorasi sambutan ulang tahun kelahiran isterinya di bilik hotel.
Bercerita lanjut, Mohammad Danial yang juga bapa kepada tiga anak berusia dua, empat dan tujuh tahun itu berkata, dia memang merancang untuk meraikan sambutan hari lahir isterinya seperti tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, katanya, wang yang ada tidak banyak kerana untung perniagaan yang tidak seberapa sejak kebelakangan ini.
"Cuma, saya sudah pasang niat maka saya ikhtiar juga cari duit untuk sambut ulang tahun isteri.
"Lagipun, isteri anak yatim piatu jadi atas sebab itu saya berusaha ikut yang termampu untuk membahagiakannya.
"Kebetulan, ada bateri lori lama milik ayah di bengkel jadi daripada terbiar, saya menjualnya dan berhasil dapat RM150.
"Wang diperoleh itu saya gunakan untuk buat tempahan hotel. Manakala, wang yang memang sedia ada digunakan untuk beli dua potong kek dan bahan hiasan dalam bilik hotel," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Walaupun menganggap apa dilakukannya itu tidak seberapa namun Mohammad Danial bersyukur kerana isterinya gembira dan menghargai usahanya.
"Alhamdulillah, isteri terharu dan gembira sangat malah dia tak sangka dapat kejutan itu kerana sibuk uruskan anak pada hari berkenaan.
"Saya pula tahu yang wanita memang suka kejutan jadi cuba juga untuk menggembirakan isteri walaupun bukan di hotel atau restoran mewah.
"Bagi saya, ingatan itu yang penting dan memang isteri layak dihargai kerana selama ini, dia banyak bantu jaga anak selain bantu uruskan kedai," katanya yang juga pengusaha restoran dan bengkel.
Berhubung kisahnya yang tular, Mohammad Danial akui tidak menyangka video dimuat naiknya mendapat perhatian kerana sekadar berkongsi untuk kenang-kenangan.
"Boleh katakan, 95 peratus komen diterima positif cuma sedikit yang negatif dan persoalkan kenapa bermalam di hotel.
"Ramai juga yang tag pasangan mereka di ruangan komen untuk minta buat kejutan yang sama, tak kurang juga luahkan suami mereka tak pernah sambut ulang tahun walaupun sudah lama berkahwin.
"Bagi saya, setiap lelaki ada cara sendiri menghargai pasangan dan semua orang boleh lakukannya.
"Cuma saya lakukan ikut cara saya dengan buat semua daripada A ke Z malah beli barang hiasan di kedai RM2.40 saja. Mungkin itu sebabnya segelintir netizen memuji kerana tak perlu barang mahal untuk menggembirakan isteri kerana yang penting usaha," katanya.
https://www.hmetro.com.my/utama/ ... lkan-isteri-bahagia |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|